MIRI: Selepas hampir sebulan mengadakan sekatan jalan, penduduk Penan dari tiga kawasan iaitu Long Bangan, Long Nen dan Simpang Empat di Tutoh Apoh, Baram akhirnya bersetuju membuka sekatan pagi semalam.
Persepakatan itu berjaya dicapai hasil rundingan hati ke hati wakil kerajaan yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan Jok dan Residen Miri Dr Ngenang Jangu yang terbang ke sana menggunakan helikopter pagi kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan Lihan Jok ketika dihubungi lewat petang semalam berkata, mereka berusaha keras untuk memujuk kaum Penan agar membuka sekatan itu.
“Ya, rundingan kali ini berjaya mencapai persepakatan dan mereka bersetuju untuk membuka sekatan. Kita sudah melakukan yang terbaik dan akhirnya berjaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.
Beliau yang dalam perjalanan pulang dari Tutoh Apoh menuju ke Miri bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Tunggu saya sampai di Miri. Saya akan dedahkan maklumat mengenai rundingan kali kedua ini semasa sidang media di sana esok (hari ini),” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Baram DSP Jonathan Jalin ketika dihubungi turut mengesahkan pembukaan sekatan tersebut.
“Dua kawasan iaitu Long Nen dan Simpang Empat membuka sekatan secara sukarela manakala sekatan di Long Bangan dibuka dengan bantuan polis,” katanya sambil menambah pembukaan sekatan di ketiga-tiga lokasi dilakukan secara aman.
Sementara itu, sekatan tersebut dilakukan sejak 19 Ogos lalu bagi menghalang syarikat pembalakan memasuki kawasan mereka.
Selain Long Nen, Long Bangan dan Simpang Empat, sekatan turut dilakukan di Long Beluk, bagaimanapun penduduk di sana membuka sekatan lebih awal iaitu kira-kira selepas seminggu mengadakan sekatan.
Dalam pada itu, rundingan kali ini merupakan susulan daripada dialog dan rundingan pertama pada 28 Ogos yang tidak mencapai permuafakatan.
Semasa rundingan pertama, penduduk Penan dari Long Bangan, Simpang Empat dan Long Nen menyatakan pendirian tidak mahu membuka sekatan sekiranya tuntutan mereka tidak ditunaikan kerajaan.
Antara permintaan mereka ialah menghentikan operasi pembalakan dan mengiktiraf hak mereka sebagai bumiputera ke atas Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
No comments:
Post a Comment