JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, September 23, 2009

Beraya di lapangan terbang

KOTA KINABALU 22 Sept. - Tiada yang lebih indah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri selain dapat bersama-sama ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan di kampung halaman sendiri.

Suasana tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata kerana hari kebesaran umat Islam itu datang hanya setahun sekali dan ia merupakan masa paling istimewa untuk berkumpul sekeluarga.

Namun bagi kakitangan Unit Keselamatan Malaysia Airports Berhad (MAB) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, bertugas pada hari raya sudah menjadi perkara biasa.

Bagi Sarjan Jamirin Riman, 47, dari Tawau yang sudah empat kali tidak beraya di kampung berkata, suasana berkerja pada hari raya pertama amat berbeza sekali dengan hari biasa.

Biasanya, kata bapa kepada empat anak itu, keadaan di terminal tersebut amat sunyi dan hanya kembali seperti biasa pada raya ketiga.

''Namun tanggungjawab adalah lebih utama kerana kita tidak mahu ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menyeludup barang haram," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap kali bertugas di pagi raya, saat yang paling menyentuh hatinya ialah tatkala mendengar takbir, namun setelah berkerja beberapa kali pada hari raya perasaan itu dapat dikawal.

Beliau memberitahu, meskipun pada hari raya, perubahan waktu bekerja tidak pernah berlaku iaitu tiga syif dari pukul 8 pagi hingga 3 petang, 3 petang hingga 9 malam dan 9 malam hingga 8 pagi.

Bagi Sarjan Jubaidah Adus, 47, dari Papar yang bertugas di mesin pengimbas beg dan barangan berkata, sudah tiga kali tidak berhari raya dengan suami dan tujuh anaknya.

''Saya sangat cemburu bila kawan-kawan balik kampung untuk berjumpa sanak-saudara. Tetapi perasaan itu saya ketepikan demi tugas serta keluarga dan suami amat memahaminya.

''Pernah sekali saya menitiskan air mata ketika berkerja apabila mendengar lagu-lagu hari raya kerana seni katanya seperti memahami situasi saya," katanya.

Bagi menyediakan juadah untuk pagi raya pertama, kata Jubaidah, anak perempuannya akan mengambil-alih tugas itu dan tidak mempunyai masalah dengan kerja-kerja untuk persiapan hari raya.

Pengalaman yang sama turut dikongsi Sarjan Hasbulah Musra, 47, dari Tuaran, menyifatkan berkerja pada hari raya adalah satu tugas dan tanggungjawab lebih berat.

Jelasnya yang bertugas di unit keselamatan, ini kerana ramai kakitangan pulang bercuti berhari raya di kampung dan mereka terpaksa memikul tugas yang ditinggalkan.

''Pada awalnya isteri dan tiga anak saya bertanya juga mengapa tidak dapat beraya dengan mereka tetap selepas sudah beberapa kali tidak beraya bersama mereka, perkara itu menjadi biasa," katanya.

Sementara Sawal Ali, 45, dari Beaufort yang bertugas sebagai anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Airports Berhad, hari raya tidak menghalangnya bekerja dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Kata Sawal, tugas utama pasukannya ialah memadam kebakaran dan bagi kerja-kerja menyelamat memerlukan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) Sabah.

''Sebabnya kita tidak mempunyai anggota yang cukup kalau berlaku kemalangan besar tetapi kalau tidak ada kecemasan kami bersiap sedia sahaja," katanya yang sudah lima kali tidak pulang beraya.

Menurutnya, mereka berkerja mengikut tiga syif yang sama seperti unit keselamatan dan jumlah kakitangan bomba di situ ialah 60 orang yang terbahagi kepada empat pasukan.

Bagi Mohd. Alwi Meidin, 43, dari Putatan berkata, setiap kali raya keluarganya akan datang menjenguknya di Terminal 1 semata-mata untuk mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf.

"Keluarga faham keadaan saya dan sudah biasa menyambut hari raya tanpa saya. Pada malam raya mereka akan menelefon untuk bertanya khabar dan memohon maaf," katanya.

utusan

No comments: