KUNAK : Saban tahun perayaan Aidil Fitri yang bakal dan akan disambut tentunya diisi dengan pelbagai kelengkapan termasuk persediaan pakaian, hiasan rumah dan penyediaan kuih-muih.
Bagi masyarakat suku kaum Bugis di pantai timur Sabah yang tinggal di daerah Tawau, Lahad Datu dan Kunak, makanan tradisi yang dikenali sebagai Buras menjadi juadah rutin setiap kali menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Buras merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada beras pulut dan diadun dengan santan kelapa kemudian dimasak di atas api serta dikawal pemanasan suhunya bagi menghasilkan buras yang enak, lazat dan menyelerakan penggemarnya.
Puan Suraya Abdul Halim dari Tawau berkata, buras biasanya dimasak dalam masa dua hingga tiga jam bergantung kepada kuantiti yang disimpan dalam periuk. Beberapa keperluan sampingan seperti daun pisang, santan kelapa (coconut milk), tali rapia atau benang guni digunakan dalam proses penyediaan buras.
Suraya berkata, beras pulut yang telah dicuci perlu dikukus beberapa minit. Selepas itu, ia diadun dengan santan kelapa mengikut sukatan tertentu supaya buras yang akan dihasilkan nanti mempunyai rasa yang sedap. Proses seterusnya ialah membalutnya dengan daun pisang.
"Biasanya, bentuk lonjong atau segi empat tepat dipilih sebagi saiz bentuk buras. Bagaimanapun, kita boleh memilih saiz yang difikirkan sesuai untuk membalut buras itu menggunakan daun pisang", kata Suraya.
Selepas itu, dua atau tiga lonjong buras yang bersaiz 17 sentimeter panjang diikat kemas supaya beras yang ada dalam daun tadi tidak terburai ketika proses memasak dilakukan.
Buras yang telah diikat perlu disusun rapi dalam periuk atau belanga untuk dimasak.
Suraya berkata, air perlu diletakkan dalam periuk itu mengikut sukatan dan proses memasaknya dijalankan dengan teliti mengikut kesesuaian suhu.
Pada kebiasaannya, Buras dimasak pada hari akhir Ramadhan sebelum masuk 1 Syawal untuk penyediaan kepada para tetamu yang berkunjung ke rumah menyambut Aidil Fitri.
Menurut Suraya, Buras turut digemari oleh rakan-rakan tamu dari suku kaum lain seperti Kokos, Bajau, Cina , India dan Melayu Semenanjung yang datang berkunjung pada hari Raya.
"Lebih menyelerakan, Buras sedap dimakan bersama ayam masak lengkuas", katanya yang kerap menyediakan juadah itu kepada tetamu pada setiap hari lebaran.
Sementara itu, tinjauan Daily Express di beberapa premis perniagaan di sini mendapati, ramai golongan suri rumah telah membuat persediaan awal dengan membeli barangan keperluan seperti beras pulut untuk digunakan semasa sambutan Hari Raya akan datang.
Selain gula menjadi barangan keperluan yang biasa pada setiap perayaan, beras pulut juga sebahagian daripada 'tumpuan' golongan suri mendapatkan bahan tersebut lebih awal kerana permintaan bagi beras pulut sudah menunjukkan peningkatan.
Seorang peniaga kedai runcit di sini yang ditemui berkata, harga semasa bagi satu kilogram beras pulut putih ialah RM 2.80
Dijangkakan, harga beras pulut akan meningkat sedikit dalam beberapa minggu sebelum Hari Raya ini, kata peniaga itu.
- Daily Express : 3rd September 2009
No comments:
Post a Comment