Oleh: MAIL MATHEW
PEGAWAI Eksekutif Majlis Daerah Tenom (MDT), Wilfred Gantiu menegaskan bahawa pihak majlis akan berusaha menaiktaraf prasarana awam terutamanya kemudahan tandas awam dan juga usaha mengindahkan lanskap pekan mengikut kesesuaiannya, dalam usaha majlis membuat perubahan struktur pekan ke arah yang lebih relatif.
Katanya lagi, bagaimanapun dalam masa yang sama beliau meminta kerjasama daripada orang awam khususnya para belia supaya menghentikan tabiat ‘vandalisme’ kerana tabiat tersebut akan mensia-siakan usaha majlis mencapai objektif tersebut.
“Kita akan terus indahkan pekan ini supaya ia kelihatan lebih menarik dan yang lebih penting pekan ini kelihatan bersih… tetapi mestilah ada kerjasama dari orang ramai,” kata beliau.
Namun katanya, walaupun sejak akhir-akhir ini pihak majlis telah melakukan kerja-kerja menaiktaraf kemudahan awam termasuk tandas awam tetapi mungkin usaha itu terjejas akibat kegiatan ‘vandalisme’jika tidak dibendung.
Wilfred berkata, pihak majlis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) mana-mana premis yang kelihatan kotor dan mencemarkan kebersihan pekan tanpa memberi notis.
“Kita terus ambil tindakan tanpa notis kerana pegawai-pegawai kami sentiasa memantau kebersihan premis mereka dan kita telahpun berikan mereka amaran secara lisan beberapa kali supaya keadaan diperbetulkan… tetapi jika mereka engkar juga kita tetap laksanakan tindakan,” tegas beliau.
Sementara itu, seorang penjaja di pasar di sini, Majidih O.T. Matali menyifatkan langkah yang diambil oleh pihak majlis menaiktaraf beberapa kemudahan tandas awam di sini amat bertepatan sekali di mana sebelum ini lebih 10 tahun kemudahan tersebut terus terbiar dan menjadi buah mulut setiap pengguna yang tidak berpuas hati.
“Nampaknya, pentadbiran majlis sekarang ini sudah ada pembaharuan dan berharap ia akan berterusan,” jelas Majidih.
Bagaimanapun, seorang peniaga butik di sebuah Emporium milik majlis yang enggan identitinya disiarkan mencadangkan pihak pengurusan majlis supaya melantik syarikat kawalan keselamatan yang lebih bertanggung jawab dan yang lebih berkesan melaksanakan tugas harian serta mampu mengawal kegiatan ‘vandalisme’.
Adalah kerana kata peniaga itu, sistem kawalan yang kurang berkesan sebagai punca kegiatan ‘vandalisme’ berleluasa di situ, malah menjadikan lorong-lorong laluan tangga sebagai pusat pertemuan mereka di waktu malam.
“Disebabkan tiada pengawal mengawasi mereka… lorong tangga kelihatan kotor dengan sampah sarap, pontongan rokok dan tin minuman… malah dinding habis diconteng dengan pelbagai perkataan lucah,” jelasnya lagi.
No comments:
Post a Comment