KOTA KINABALU 28 Sept. - Kerajaan negeri akan menamakan semua pulau di perairan negeri ini bagi mengelak sebarang masalah pada masa hadapan khususnya tuntutan bertindih yang melibatkan negara lain.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap pulau di negeri ini termasuk pulau-pulau kecil dinamakan dalam tempoh terdekat.
"Kita akan pastikan setiap pulau di perairan kita dinamakan dan ia adalah milik Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan Perhimpunan Agung Keempat Persatuan Penggalakan Pelancongan (TPO) Bandaraya Asia Pasifik di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Presiden TPO, Nam Sik Hur; Pengerusi Lembaga Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. Victor Lee dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Ilyas Ibrahim.
Baru-baru ini Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaysia Sabah (UMS), Marja Azlima Omar dipetik sebagai berkata, kerajaan harus lebih serius dalam memastikan semua pulau di negara ini mempunyai nama bagi mengelak sebarang masalah pada masa akan datang.
Beliau berkata, di Sabah sahaja terdapat lebih 250 pulau tidak mempunyai nama termasuk 55 daripadanya di Tawau yang terletak berhampiran dengan sempadan Indonesia.
Marja menjelaskan, isu pulau yang tidak mempunyai nama di Sabah akan memberi masalah kepada negara sekiranya berlaku sebarang isu yang melibatkan kepentingan ke atas pulau terbabit khususnya melibatkan tuntutan bertindih.
Tambahnya, meskipun terdapat pulau-pulau tersebut yang sangat kecil dan tidak mempunyai potensi namun tindakan proaktif harus diambil bagi memastikan kes seperti pulau Batu Putih tidak berulang.
Menurut Musa, pada masa ini terdapat lebih 500 pulau di negeri ini termasuk pulau-pulau kecil milik Malaysia.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pulau-pulau berkenaan dan akan memastikan kedaulatan pulau yang menjadi milik Malaysia itu terus berkekalan.
No comments:
Post a Comment