Misteri rumah dua tingkat yang tingkapnya ditutup dengan papan buruk terbongkar petang tadi apabila rumah itu sebenarnya tempat tinggal seorang ibu tunggal yang kematian suami sejak 2006.
“Kami diam di sini atas belas simpati selepas beberapa kali dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Sehingga hari ini kami tidak kenal siapa pemilik rumah ini, namun kami bahagia kerana sekurang-kurangnya ada tempat berteduh,” kata Sahidah Kasim, 33, ketika ditemui di kawasan perumahan di Piasau Jaya petang tadi.
Selain Sahidah, rumah itu dihuni oleh empat orang anaknya masing-masing berusia 16, 15, 11 dan 8 tahun dan neneknya yang berusia 90 tahun sejak sembilan bulan lalu.
Penulis kemudian menjenguk ke dalam, namun malangnya tiga orang anaknya dan nenek sedang tidur ditingkat atas. Tiada ruang tamu, tiada sofa, hanya dapur kecil yang daif dan serba kekurangan.
“Pintu dapur ini tak dapat dibuka, begitu juga jendela ini sudah rosak dan tak pernah diperbaiki. Malah bekalan elektrik dan air pun tiada. Kami terpaksa memasang wayar ke rumah jiran berhampiran untuk menerangi kegelapan,” kata Sahidah dengan nada sebak.
Menurut ibu tunggal ini, setiap hari dia berjual kuih-muih di hadapan sekolah demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak dan nenek
“Suami saya meninggal pada 2006 selepas mengalami barah usus. Sejak itu kami hilang tempat bergantung,” katanya sambil menambah dia pernah cuba mendapatkan bantuan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun tiada maklumbalas.
Mujurlah Biro Kebajikan dan Anak Yatim Masjid Darul Ehsan Piasau begitu prihatin dengan nasib malang yang menimpanya.
Berkat pertolongan mereka dan Rukun Tetangga Piasau, Sahidah dan anak-beranak ditempatkan di rumah tersebut yang tidak lagi digunakan pemiliknya.
Mengenai sambutan Hari Raya tahun ini, Sahidah berkata mereka sekeluarga menyambut ala kadar sahaja.
“Tiada kemeriahan, namun kalau ada tetamu yang sudi berkunjung, kami tetap terima dengan hati terbuka. Seperti tahun-tahun sudah, kami menyambut terlalu sederhana kerana wang yang ada hanya cukup untuk menampung persekolahan anak-anak dan makan minum,” katanya sambil memeluk anak bongsunya.
Sementara itu, penderitaan ibu tunggal ini mendapat perhatian daripada Bank Muamalat Miri yang menderma wang raya sebanyak RM500 serta makanan seperti beras, telur, mee dan minuman.
Sumbangan disampaikan Pemangku Pengurus Bank Muamalat cawangan Miri, Abdul Razak Abdul Karim. Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan dan Anak Yatim Masjid Darul Ehsan, Talhah Mansor. sarawakupdate
No comments:
Post a Comment