Kaum Iban di Sungai Satai, Pandan di Bintulu mengadakan upacara “Bebuling Menoa” bagi menghalang pencerobohan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik mereka.
Upacara itu yang biasanya digunakan untuk menghalau roh jahat dari kawasan tempat bercucuk tanam dan rumah panjang pada zaman dahulu, diketuai oleh Sumping Ungkam, 64, dari Rumah Mering, di Pandan, sebuah petempatan di bawah parlimen Bintulu.
Sekitar 100 orang penduduk yang datang dari tiga buah rumah panjang, iaitu Rumah Mering, Rumah Mujah, dan Rumah Belaja menyertai upacara itu setelah NCR mereka diceroboh oleh Sarawak Planted Forest Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang diberi tanggungjawab untuk menanam kayu jati atau kayu kertas.
Sarawak Update difahamkan penduduk terbabit yang ada antaranya memiliki surat hak milik dikeluarkan pada zaman pemerintahan Rajah Brooke tidak berpuas hati kerana diarahkan mengosongkan kawasan yang telah mereka usahakan dengan pelbagai tanaman komersial, termasuk kelapa sawit oleh Jabatan Tanah dan Servei (JTS) Bintulu.
Pemeriksaan lanjut mendapati, Pemakai Menoa milik penduduk tiga buah rumah panjang tersebut adalah berada di dalam konsesi seluas 480,600 hektar yang diserahkan Kerajaan Negeri kepada syarikat terbabit untuk tujuan perladangan hutan.
Sebuah konsortium swasta telah diberi kontrak untuk melakukan penanaman pokok jati dan kertas di tanah seluas 150,000 hektar yang meliputi kawasan yang didakwa sebagai Pemakai Manoa dan NCR penduduk tempatan.
Selain melakukan penanaman haram dan pencerobohan, pekerja konsortium terbabit juga telah merobohkan pondok dan memusnahkan tanaman milik petani tempatan.
Turut terjejas oleh projek perladangan hutan tersebut adalah penduduk di Rumah Sengok, juga di Pandan, dan klip video memaparkan kerja-kerja meroboh pondok itu telahpun tersebar luas di beberapa lama web.
Sehubungan itu, penduduk merayu Kerajaan Negeri campur tangan bagi menyelesaikan krisis terbabit sebelum ia bertambah serius.
Mereka mendakwa mempunyai hak ke atas kawasan tersebut kerana telah mendiami kawasan itu sejak lebih 100 tahun lalu. sarawakupdate
No comments:
Post a Comment