Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata, ia bakal mencatat rekod tertinggi dari segi jumlah pengisian semula prabayar bagi wilayah timur.
Beliau berkata, sasaran tersebut dibuat berikutan kejayaan syarikat telekomunikasi itu mencatat jumlah pendapatan RM3.8 juta sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun lepas.
''Kelantan merupakan sebuah negeri yang unik bagi telekomunikasi disebabkan susah untuk membuat jangkaan sebenar peningkatan dalam bidang ini.
''Ia selalunya lebih tinggi berbanding jangkaan dan negeri ini memegang rekod jumlah pengguna Celcom yang tertinggi berbanding dua buah negeri lagi.
''Setakat ini, kita menguasai 60 peratus pasaran di Kelantan dan ia menyumbang 40 peratus kepada pendapatan Celcom Wilayah Timur.
''Trend ini dijangka meningkat sehingga hujung tahun ini dengan kekuatan kira-kira 600 pengedar di wilayah timur,'' katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama pengedar dan warga media di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, pihak pengurusan Celcom turut memberikan taklimat tentang produk dan promosi terkini sempena Hari Raya Aidilfitri.
Dalam pada itu, Sulaiman berkata, pihaknya telah membuat persediaan dari segi teknikal bagi mengatasi kesesakan talian yang akan berlaku sehari sebelum perayaan Aidilfitri terutama apabila ia membabitkan pengunaan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Katanya, pelan kontigensi dengan meningkat keupayaan kapasiti muatan talian telah dilakukan dan ia dijangka berupaya mengatasi masalah tersebut.
''Kita sudah kenal pasti sebanyak 22 buah lokasi yang terbabit dalam kesesakan tersebut dan keupayaan kuasa talian kini telah ditingkat untuk menampung masalah tersebut,'' tambahnya.
Tambahnya, ia merupakan salah satu usaha syarikat berkenaan bagi memastikan penggunanya mendapat perkhidmatan yang terbaik berbanding pesaing-pesaingnya di pasaran. utusan
No comments:
Post a Comment