Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak agar Syarikat milik negara Sime Darby Berhad yang sudah berusia 99 tahun tidak dibuka kepada pelabur asing pada masa ini. PAS menolak cadangan kabinet yang menawarkan 10 peratus saham Sime Darby Berhad untuk dibeli oleh pelabur dari China dibawah dasar Liberalisasi.
Sime Darby Berhad yang diasaskan oleh William Sime dan Henry Darby pada 1910 merupakan syarikat perladangan terbesar negara selain daripada Felda Holding Berhad. Sime telah bergabung dengan Kumpulan Guthrie Bhd dan Golden Hope Plantations Bhd. (GHope) dibawah payung Synergy Drive Bhd yang didokong oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pada tahun 2007.
PAS sedar bahawa Sime mengalami kerugian pada sesi kewangan 2008 yang berakhir pada suku keempat tahun ini dengan hanya mengutip keuntungan sebanyak RM984.04 berbanding RM1.02 billion pada tahun sebelumnya. Namun itu bukanlah alasan terbaik untuk membuka tawaran pemilikan saham kepada pelabur dari China kerana jika dibandingkan situasi Sime dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) satu ketika sahulu, ternyata Sime mempunyai aset dan ekuiti kewangan yang kukuh dari sumber dalam negara.
Sokongan pelaburannya di Australia, sekitar Asian Tenggara masih kukuh dengan sektor gas dan minyak serta permotoran yang disertainya masih mendapat untung. Sektor industri keseluruhannya memberikan nafas buat Sime untuk terus bersaing sebagai GLC utama negara.
Ini ditambah lagi dengan kekuatan modal pasaran yang diperolehi dari sumber Synergy Drive Bhd yang dikongsi dengan kekuatan aset Guthrie dan GHope yang bernilai RM46.9 bilion. Maka PAS yakin Sime masih mampu untuk terus melangkah kehadapan dengan kekuatan yang ada.
Program pelaburan Sime yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib ketika melawat China sebanyak RM3 Billion sebenarnya masih boleh ditampung oleh pelabur dari negara ini. Jika Perdana Menteri serius dengan dasar 1 Malaysia maka, 10 peratus saham Sime tidak boleh dibiarkan terlepas kepada pelabur asing termasuk dari China.
Sebagai alternatif, saham berkenaan boleh ditawarkan kepada pelabur dalam negara atau dibuka kepada Syarikat lain seperti Felda Holding, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Tabung Haji, Perkeso dan beberapa sumber lain.
Bagi tujuan pelaburan di China, Sime boleh membuka anak syarikatnya dan disitulah ruang pelaburan boleh diberikan kepada pelabur di China, bukannya melalui pemilikan saham dalam induk Sime sendiri. Ia sewajarnya dilihat sebagai ancaman kepada GLC berkenaan pada masa akan datang. Kerana pada hari ini mungkin 10 peratus sahaja. Tapi esok lusa jumlah itu mungkin bertambah.
Malah,dengan tawaran itu juga setiap tahun 10 peratus keuntungan Sime akan mengalir keluar negara dan masuk ke kantung China begitu sahaja. Walhal pelaburan Sime bukan hanya tertumpu di China sahaja.
Maka, PAS mengajak Kerajaan berfikir panjang sebelum melaksanakan idea berkenaan dan tidak membelakangkan kepentingan negara dan rakyat dalam hal ini hanya kerana ingin menunjukan pada rakyat bahawa Perdana Menteri dan Kabinetnya buat kerja.
Ketua Penerangan PAS Pusat _ Ustaz Idris Ahmad
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment