JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, September 18, 2009

Kemiskinan bandar kian membimbangkan

KUCHING: Ketika negara memperhebatkan usaha membasmi masalah kemiskinan di kawasan pedalaman, kadar kemiskinan di bandar dilihat semakin membimbangkan.

Masalah ini lebih ketara di bandar-bandar besar di negeri ini seperti bandar raya Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu berikutan peningkatan inflasi dan penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar.

Pendapatan yang tidak seberapa kerana majoriti penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar akan terlibat dalam pekerjaan buruh kerana latar belakang pendidikan kurang memuaskan menyebabkan pilihan mereka mendapat pekerjaan begitu terhad.

Keadaan lebih serius apabila mereka berhijrah membawa keluarga dengan keadaan anak-anak masih kecil atau di bangku sekolah.

Tanpa pendapatan tetap mereka perlu menyewa, tidak kurang juga yang mendirikan rumah mereka di kawasan setinggan menyebabkan hidup tanpa kemudahan asas sempurna.

Jika aspek-aspek ini diambil kira maka penduduk yang tinggal di kawasan setinggan mahupun penempatan sementara di dalam atau pinggir bandar raya Kuching dengan keadaan rumah dilihat tidak sesuai didiami, mereka boleh dianggap miskin.

Rentetan kesempitan hidup itu menyebabkan ada di kalangan anak-anak mereka terbiar, berkeliaran di sekitar bandar menagih simpati orang ramai untuk sedikit wang dan makanan.

Beberapa minggu lepas Utusan Borneo dalam ruangan ini (Laporan Khas) memaparkan kisah tiga adik beradik yang sering berkeliaran di sekitar pusat membeli-belah di BDC Stampin, Kuching. Mereka berusia antara enam hingga sembilan tahun dan mengaku tidak berkesekolah.

Lebih mengejutkan yang tua memberitahu perbuatan mereka meminta wang dan makanan daripada orang ramai sememangnya diketahui ibu bapa mereka.

Menurut yang lebih tua (mungkin sulung) antara mereka bertiga, mereka tinggal di kawasan setinggan di Stutong dan berbangsa Iban.

Kisah tiga beradik itu jelas menunjukkan kemiskinan bandar membawa kepada wujudnya pengemis muda yang akan memburukkan lagi masalah pengemis yang sedia wujud di negeri ini.

Walaupun masalah pengemis di negeri kita belum mencapai peringkat membimbangkan seperti di ibu kota Kuala Lumpur, jika dibiarkan ia akan menjadi masalah serius dalam masyarakat.

Kewujudan kemiskinan dalam bandar di Sarawak diakui Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah dan menurutnya kemiskinan bandar semakin menular di bandar-bandar utama di negeri ini.

“Masalah ini timbul disebabkan penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar bagi mengejar peluang pekerjaan… mungkin agak sukar untuk mereka yang sudah berkeluarga dengan pendapatan RM1,000 ke bawah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masalah kemiskinan masih lebih ketara di kawasan luar bandar berbanding di bandar lebih-lebih lagi jika pendapatan seisi keluarga diambil kira.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 sesebuah keluarga itu dikategorikan miskin jika pendapatan sebulan mereka di bawah RM720 di Semenanjung Malaysia, RM960 di Sabah dan RM830 di Sarawak.

Manakala keluarga yang berpendapatan RM430 di Semenanjung Malaysia, RM540 untuk Sabah dan RM520 bagi Sarawak diklasifikasi sebagai miskin tegar.

Hakikatnya kemiskinan sukar didefinisikan kerana ia mempunyai banyak makna.

Seseorang itu juga dianggap miskin jika tidak dapat ke sekolah atau mendapat perkhidmatan kesihatan sempurna selain tiadanya perkhidmatan bekalan air bersih dan sanitasi sempurna.

Di Malaysia kemiskinan diukur berdasarkan pendapatan seisi rumah yang dikira mengikut PLI dan sesebuah keluarga itu dianggap miskin jika pendapatannya di bawah PLI.

Tidak dapat dinafikan sejak program pembasmian kemiskinan diperkenalkan di negara ini, kadar kemiskinan lebih-lebih lagi kemiskinan tegar berjaya dikurangkan.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Bajet 2009, Ogos tahun lepas berkata kadar kemiskinan tegar isi rumah di negara ini menunjukkan penurunan 43 peratus dalam tempoh tiga tahun iaitu 67,300 (2004) kepada 38,400 (2007). Malah Abdullah begitu yakin sifar kemiskinan tegar boleh dicapai menjelang 2010.

Berdasarkan statistik angka makro dikeluarkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dari tahun 1976 hingga 2004, jumlah keluarga di Sarawak yang berpendapatan di bawah PLI menunjukkan penurunan yang boleh dibanggakan iaitu 60 peratus kepada lapan peratus.

Sebahagian besar daripada lapan peratus itu adalah penduduk peribumi yang menetap di pedalaman dan pesisir pantai. Manakala Bidayuh dan Iban dikatakan penyumbang terbanyak kepada jumlah kemiskinan tegar di negeri ini.

Namun persoalannya di sini, bagaimana pula dengan kadar kemiskinan di bandar, mampukah ia dibasmi ketika kos sara hidup semakin meningkat ditambah masalah ekonomi yang bagaikan ada musimnya sukar diramal.

Dalam mengurangkan masalah kemiskinan bandar di negara ini, Fatimah berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar.

“Program menghapuskan kemiskinan bandar lazimnya merangkumi enam aspek utama iaitu pendidikan, ekonomi, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan insfrastruktur,” katanya.

Menyedari kemiskinan adalah punca kepada wujudnya pelbagai masalah social, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang yang banyak bagi membasmi kemiskinan bandar dan luar bandar.

Bagi kemiskinan bandar misalnya, KPKT telah mengagihkan berjuta-juta ringgit kepada penduduk miskin bandar di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

Selain itu, kerajaan negeri menerusi Perbandanan Pembangunan Perumahan (HDC) dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkenalkan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) sebagai sebahagian daripada projek penempatan semula dan projek individu bagi mengurangkan masalah setinggan di negeri ini.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberitahu kerajaan akan membina lebih banyak RMR bagi golongan berpendapatan rendah dalam usaha mengatasi masalah kemiskinan bandar.

Menurut beliau beberapa kawasan telah dikenal pasti antaranya daerah Lundu, Lingga, Kabong (bahagian Sri Aman), Bekenu (Miri), Sungai Midin (Petra Jaya) dan Sungai Tiram, Salak (Kuching) dengan sebuah rumah dianggarkan berharga RM57,000.

Sementara itu, bagi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Dr Hirman Ritom Abdullah pula, kemiskinan sukar didefinisikan kerana ia mempunyai banyak makna.

“Seseorang itu juga dianggap miskin jika tidak dapat ke sekolah atau mendapat perkhidmatan kesihatan sempurna selain tiadanya perkhidmatan bekalan air bersih dan sanitasi sempurna,” katanya.

Namun Dr Hirman mengakui sejak program pembasmian kemiskinan diperkenalkan di negara ini, kadar kemiskinan lebih-lebih lagi kemiskinan tegar berjaya dikurangkan.

Walaupun begitu Suhakam dalam Laporan mengenai Pendekatan Hak Asasi Manusia untuk Mengurangkan Kemiskinan (HRAPR) 2007 yang dikemukakan kepada kerajaan mencadangkan dalam sesuatu usaha berhubung kemiskinan dan akses kepada pembangunan, perkara paling penting adalah mengetepikan unsur-unsur diskriminasi.

“Memang Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam usaha membasmi kemiskinan tetapi ia tidak memberi gambaran menyeluruh.

“Pengurangan kadar kemiskinan dari segi statistiknya sungguh signifikan.

“Jika disbanding dengan kadar kemiskinan secara menyeluruh dan dibahagikan kepada dua penggal 1970-2004 dan 2004 hingga 2007, memang ada pengurangan.

“Daripada 5.7 peratus (2004) kepada 3.6 peratus (2007),” katanya.

Bagi jumlah kelompok yang dilabel sebagai miskin tegar pula katanya, ia menurun daripada 1.2 peratus (2004) kepda 0.7 peratus (2007).

Bagaimanapun realiti angka mikro tidak begitu baik apabila keadaan sukar serta pengalaman kumpulan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan bandar diambil kira, masih terdapat ramai rakyat Sarawak dikategorikan miskin.

Apapun bantuan diberikan kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan kepada rakyatnya sama ada di bandar mahupun luar bandar diharap golongan ini mempunyai semangat jati diri untuk mencari serta merebut apa jua peluang pekerjaan dan perniagaan disediakan.

Apabila golongan ini mempunyai pendapatan yang lebih baik dan stabil nescaya mereka dapat memberi fokus terhadap usaha meningkatkan taraf hidup keluarga serta sentiasa dapat berdikari.

No comments: