Penan perlukan pembelaan, itulah rumusan Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Sudah tiba masa bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak apabila wakil rakyat Sarawak gagal memainkan peranan sebagai “hakim yang adil” setiap kali berlaku pertelingkahan mengenai tanah hak adat bumiputera (NCR) antara orang tempatan dengan syarikat pembalakan berlaku.
Presiden SAM, S.M. Mohamed Idris berkata orang Penan bukan sahaja ditindas, malah berasa amat terhina apabila digelar “tukang cerita yang pandai” ketika mengutarakan masalah yang mereka hadapi.
“ Ini diburukkan dengan dakwaan (Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan) Lihan Jok mengatakan kaum Penan tidak bertamadun gara-gara mendirikan sekatan bagi menghalang pencerobohan ke kawasan NCR dan Pemakai Menoa,” kata Mohamed.
Kenyataan Lihan seperti yang disiarkan dalam Utusan Borneo pada 30 Ogos lalu mengatakan sekatan itu menunjukkan Penan penuh dendam dan pemberontakan juga didakwa SAM boleh menimbulkan ketegangan yang serius.
Ini ditambah dengan dakwaan bahawa “orang Penan prejudis dengan kaum lain seolah-olah hanya Penan sahaja yang perlu dibantu sedangkan kaum lain juga perlu perhatian” sepatutnya tidak keluar dari mulut wakil rakyat yang diberi mandat menjaga kebajikan rakyat.
Krisis yang berlaku, menurut SAM, adalah perjuangan hidup mati orang Penan kerana syarikat pembalakan beroperasi melebihi had yang dibenarkan, sementara Pemakai Menoa yang merupakan sumber makanan semakin kecil.
“ Apa yang mereka mahu cuma diberikan kawasan untuk menyara diri..iaitu untuk mencari makanan, minuman dan keperluan harian, dan bukannya meminta yang bukan-bukan seperti yang digembar-gemburkan,” kata salah seorang aktivis tempatan.
Campurtangan SPRM pada masa ini amat dialu-alukan kerana operasi pembalakan di ulu Baram bukan lagi mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
Lagipun, terlalu banyak kes serius seperti penderaan seksual yang dilakukan oleh pekerja balak “ditutup” oleh tangan hitam setiap kali ia didedahkan.
Siasatan yang dilakukan polis pula hanya membuang masa kerana tiada cukup bukti, selain dakwaan melakukan amalan seks ketika masih dibawah umur dikalangan gadis Penan adalah perkara biasa. sarawakupdate
No comments:
Post a Comment