JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Wednesday, September 23, 2009
Penduduk Cocos Khuatir Air Tidak Sampai Ke Rumah
Kira-kira 100 keluarga Kampung Cocos khuatir mereka tetap tidak mendapat bekalan air walaupun Loji Air Apas Balung yang siap dibina kira-kira 40km dari sini mula menyalurkan air bulan depan.
Ini kerana paip-paip utama untuk membekalkan air bersih kepada penduduk yang selama ini bergantung kepada air sungai dan air hujan untuk keperluan harian, masih belum dibina berhampiran kediaman mereka.
Rahmat Salia, 69, masih sangsi mengenai tarikh sebenar bekalan air bersih itu akan disalurkan ke rumahnya kerana paip utama di beberapa kawasan kampungnya belum dibina.
Menurut Rahmat, akibat pemasangan paip utama daripada loji penapisan air tidak menyeluruh menyebabkan tidak kurang 100 buah rumah di Kampung Cocos sukar untuk membuat penyambungan paip ke rumah masing-masing apabila bekalan air bersih mula disalurkan kelak.
Sejak berpuluh tahun lamanya, penduduk sekitar Balung terpaksa menyediakan banyak tangki atau apa sahaja bekas untuk menadah air di kediaman masing-masing dan berita mengenai siapnya projek pembinaan loji air di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, itu melegakan mereka.
Pembinaan loji berkenaan dimulakan sejak Disember 2006 dengan kos melebihi RM51 juta dan berupaya membekalkan air bersih kira-kira 10 juta liter sehari.
Zulkarnain Kasley, 33, dari Kampung Cocos berkata dengan adanya bekalan air bersih berkenaan, beliau berharap kesihatan penduduk terutama golongan tua bertambah baik memandangkan air yang mereka gunakan selama ini tidak dijamin kebersihannya.
Takun Austin, 58, berkata ketiadaan bekalan air bersih merupakan masalah kemudahan asas utama dihadapi penduduk Balung termasuk Kampung Cocos walaupun kawasan berkenaan cuma kira-kira 40km dari bandar Tawau.
"Sebelum ini kami diberitahu bekalan air bersih akan mula dibekalkan pada bulan September. Yang terbaru, kami diberitahu pula bahawa bekalan air bersih akan bermula pada bulan Oktober. Kami berharap ia dapat dipercepatkan," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment