JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, April 26, 2011

Campurtangan Mahathir, punca Proton bermasalah – KPRU

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) berpandangan campur tangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pengurusan Proton antara punca syarikat automotif itu mengalami pelbagai masalah sehingga kini.

Dalam satu kenyataan ia menjelaskan, ’minat peribadi’ Mahathir terhadap Proton turut meliputi urusan pelantikan jawatan penting, pembukaan pasaran baru dan membantah penjualan saham Proton.

KPRU memberi contoh bagaimana rundingan dengan syarikat Jepun, Mitsubishi yang diketuai bekas Presiden Umno itu diselubungi ‘kerahsiaan’ sehingga mengecualikan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan syarikat-syarikat tempatan berpengalaman dalam pemindahan teknologi automotif.

“Hal ini mengakibatkan kontrak yang ditandatangani berat sebelah, lebih memihak kepada Jepun serta Mitsubishi daripada Malaysia.

“Misalnya, Proton yang seharusnya mengutamakan pasaran eksport, disekat berbuat demikian dalam perjanjian asal kerana Mitsubishi tidak inginkan Proton bersaing dengannya dalam pasaran antarabangsa,” kenyataan itu dipetik.

Menurut KPRU, tindakan Mahathir yang terkenal dengan cadangan projek penswastaan dan mengamalkan kronisme dalam kepimpinannya, menyebabkan Proton mengalami kerugian.

“Semasa penyenaraian Proton dalam Bursa Malaysia, Khazanah menjualkan 32 peratus pegangan sahamnya bernilai RM1.72 bilion kepada Diversified Resources Bhd (DRB) milikan Yahaya Ahmad tanpa bidaan terbuka.

“Kemudian, apabila Malaysia dilanda krisis ekonomi, Petronas pula dipaksa mengambil alih 27.2 peratus saham Proton pada 29 Oktober 1998.

“Ini satu contoh klasik "keuntungan diswastakan, kerugian dinasionalisasikan",” kata kenyataan itu.

Oleh itu, tegas KPRU, tidak menghairankan apabila kebanyakan pembekal komponen kereta Proton tidak mendapat pengiktirafan QS9000.

“Terdapat dakwaan barangan hasil mereka (Proton) banyak masalah akibat sikap ‘keselesaan’ dan ‘tidak apa’ kerana dijamin dengan kontrak jangka panjang dan mempunyai pertalian politik yang kuat.

“Dengan kata lain, naungan politik bukan sahaja berlaku pada peringkat atasan, tetapi juga meresap ke tulang rusuk Proton sehingga peringkat rantaian pembekalan (supply chain).

“Lantaran itu, rakyat Malaysia dibebani kos penyelenggaraan kereta yang berlarutan,” tegas kenyataan itu lagi.

KPRU merupakan sebuah pusat kajian yang membawa idea perubahan kepada warga Malaysia melalui kajian dan sesi dialog. Ia memfokuskan kajian terhadap bidang ekonomi, politik dan sektor strategik yang membawa impak jangka panjang kepada masyarakat.

Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak, kajian KPRU diyakini membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad mendatang.

No comments: