JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, April 14, 2011

Pembangunan senget di DUN Pantai Damai - Wan Zainal

Pembangunan senget dan wang rakyat dirompak BN untuk mengkayakan kroni, antara isu yang membelenggu penduduk bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai, kata Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Wan Zainal Wan Senusi.

Zainal yang juga calon KEADILAN di DUN itu berkata, calon BN DUN Pantai Damai yang juga penyandang kerusi itu sekian lama, Abdul Rahman Junaidi gagal memperjuangkan nasib rakyat khasnya kaum Melayu/Melanau yang merupakan majoriti di kawasan itu.

"Antara yang membelenggu penduduk di DUN ini berkaitan geran tanah yang gagal diberikan kerajaan negeri walaupun mereka mendiaminya antara 20 hingga 30 tahun di kawasan itu.

"Kira-kira 20 buah kampung dengan 2,000 keluarga terlibat dalam dilema tanah tersebut," katanya kepada Suara Keadilan.

Selain itu, katanya, banyak projek yang dibuat di kawasan itu sekadar untuk 'merampas' wang rakyat selaku pembayar cukai.

Beliau memberi contoh pembinaan Dewan Orang ramai dan jalan raya di DUN itu hanya dibuat sekerat jalan sebelum menjadi projek gajah putih.

"Hasilnya, sekali lagi wang rakyat jadi mangsa akibat kegagalan BN yang tidak memantau projek itu.

"Selagi BN memerintah, selagi itu kawasan ini mundur dan selagi itulah wang rakyat diagihkan kepada kroni melalui projek yang tidak siap itu," katanya lagi.

Menurut Zainal, DUN Pantai Damai berada tidak jauh dari bandar Kuching, maka sepatutnya kawasan ini mampu membangun.

"Kita harus faham, taktik BN untuk mengekalkan kuasa antaranya membiarkan rakyat terus miskin dengan harapan rakyat akan terus bergantung kepadanya.

"Namun, rakyat kini bukan bodoh, mereka sudah celik dan saya berkeyakinan ia dibuktikan pada sesi pengundian nanti," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru setiap pengundi keluar awal pada hari pengundian dan bermula sekarang sentiasa menyemak di mana tempat mengundi kerana terdapat desas desus ribuan nama pengundi ditukar bertujuan untuk memastikan calon BN menang.

Zainal merupakan bekas akauntan dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik di Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Kini beliau merupakan ahli perniagaan di negeri itu dengan lebih 90 peratus pengundi DUN Pantai Damai merupakan masyarakat Melayu/Malanau.

No comments: