JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, April 5, 2011

Pasukan SPR berkuasa sekat kempen Pakatan - Aziz

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan 80 pasukan penguatkuasaan kempen pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini bagi memastikan kempen dijalankan secara bersih dan aman.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pasukan berkenaan akan menyelaras aktiviti berkempen dan membuat rondaan untuk memantau proses berkempen oleh calon-calon yang bertanding.

"Pasukan ini akan menurunkan bahan-bahan kempen yang tidak sesuai. Mereka juga boleh memberhentikan ucapan atau syarahan yang tiada permit atau apa yang dicakap melanggar syarat permit," katanya pada sidang berita di pusat penamaan calon di Dewan Bandaraya Kuching Selatan di sini pada hari Selasa.

Katanya walaupun pilihan raya negeri hanya melibatkan 71 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), SPR jumlah 80 pasukan itu lebih sesuai kerana ada beberapa tempat dirasakan perlu diletakkan dua pasukan.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, hanya poster dan sepanduk tokoh parti-parti yang bertanding dibenarkan manakala parti-parti yang tidak bertanding di sesuatu kawasan itu tidak dibenarkan memasang poster atau sepanduk mereka.

"Pasukan petugas penguatkuasaan akan memastikan hanya poster atau banner (sepanduk) yang sepatutnya dipasang. Selain itu poster yang berniat jahat juga akan diturunkan," katanya.

Abdul Aziz berkata SPR juga telah menyediakan 461 peti undi yang dipasang pelampung bagi peti undi yang terpaksa dibawa melalui sungai atau tasik, untuk mengelakkan ia tenggelam atau rosak jika sesuatu perkara tidak diingini berlaku seperti bot terbalik.

"Kita dah uji keupayaan peti undi itu. Kita sediakan peti undi seperti ini berikutan dakwaan SPR membuang peti undi dalam sungai ketika pilihan raya kecil Batang Ai. Peti undi yang digunakan adalah jenis lutsinar dan masing-masing ada pelekat hologram untuk keselamatan dan bagi membezakan setiap peti undi," katanya.

Mengenai undi pos, Abdul Aziz berkata ia akan melibatkan 18,363 orang iaitu 11,738 tentera, 6,591 polis dan 34 pemilih yang berada di luar negara, dan jumlah itu bertambah jika mengambil kira petugas SPR.

"Tarikh undi pos belum ditetapkan lagi. Biasanya dua (atau) tiga hari sebelum hari mengundi. Kertas undi kita hanya boleh cetak selepas empat hari penamaan calon iaitu pada 10 April. Dalam tempoh empat hari itu, calon boleh menarik diri," katanya.

Beliau berkata SPR menjangkakan keputusan semua kawasan DUN akan selesai diumumkan tidak lewat daripada pukul 11 malam jika tidak berlaku keadaan yang luar biasa.

Katanya pondok panas parti-parti pembangkang tidak dibenarkan pada hari pengundian, dan jika ada pondok panas didirikan, ia akan dirobohkan.

Beliau juga berkata sebanyak 89 pusat mengundi melibatkan 48,164 pemilih dipindahkan ke tempat lain bagi memberikan keselesaan kepada pengundi.

Abdul Aziz berkata bagi pilihan negeri kali ini, SPR menyediakan bajet sebanyak RM50 juta berbanding RM32 juta bagi pilihan raya negeri 2006.

"Banyak kos yang naik. Dulu kita guna 20 helikopter tetapi kali ini 27 helikopter," katanya.

Jumlah pengundi bagi pilihan raya negeri ke-10 ini adalah seramai 979,796 orang dengan Melayu/Melanau meliputi 27.5 peratus, Cina (31.51 peratus), Iban (28.93 peratus), Bidayuh (8.13 peratus), Orang Ulu (3.67 peratus) dan lain-lain (0.26 peratus).

Pengundi wanita adalah sebanyak 50.6 peratus. Pengundi paling ramai adalah di DUN Pending iaitu seramai 29,488 manakala paling sedikit adalah di Ba'kelalan 6,959 orang.

No comments: