JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, April 18, 2011

DUN Senadin Kecoh

MIRI: Ratusan anggota polis berperisai ditempatkan di luar pusat pengiraan undi N.65 Senadin di yang berlangsung Stadium Tertutup Miri, untuk mengawal dan melerai protes antara penyokong calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tengah malam kelmarin.

Pertelingkahan berlaku setelah penyokong calon PKR Dr Michael Teo, tidak berpuas hati dengan proses pengiraan undi oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pertelingkahan antara kedua-dua pihak tercetus pada jam 10 malam setelah pihak PKR mempersoalkan proses pengiraan undi dan meminta Pegawai Pengurus Pilihan Raya Chai Ko Het untuk mengira semula undi tersebut buat kali ketiga, namun ditolak oleh Chai.

Keadaan itu menyebabkan penyokong PKR menjerit “Recount” (Kira Semula) berulang-ulang kali untuk menghalang Pegawai Pengurus Pilihan Raya itu (Chai) daripada mengumumkan keputusan yang memihak kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lee Kim Shin dengan perbezaan sebanyak 58 undi.

Lee mendapat sebanyak 7334 undi sementara Teo mendapat sebanyak 7276 undi.

“Kira semula! Malulah pada diri kamu SPR!” Demikian teriakan berulang kali oleh para penyokong PKR kepada arah Chai sejurus beliau mengumumkan kemenangan Lee.

Lee kemudian dibawa keluar dari Stadium Tertutup Miri dan disambut oleh penyokong PKR dengan jeritan ‘BN penipu!’

Sementara itu, Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Jamaluddin Ibrahim memberitahu, ekoran ketegangan yang tercetus tengah malam itu, dua penyokong PKR telah ditahan oleh polis.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin pada pagi semalam.

“Ya, kami telah membebaskan kedua-dua mereka pagi semalam. Mereka ditahan kerana mengganggu proses pengiraan undi,” jelas Jamaluddin yang dihubungi semalam.

Sementara itu, PKR bercadang untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan bagi kerusi N65 Senadin. Naib Presiden PKR Tian Chua menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan Chai supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi malam Sabtu lalu itu.

“Kami tidak puas hati, beliau (Chai) tidak memberi kami sebarang alasan yang kukuh berikutan keengganannya itu,” kata beliau kepada pemberita.

Penyokong PKR, termasuk anggota Exco Selangor Elizabeth Wong, yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, enggan meninggal stadium tiga jam selepas keputusan diumumkan untuk mendesak Chai melakukan kiraan semula.

No comments: