SANDAKAN: Kira-kira 10 peratus dari keseluruhan 652 anggota bomba dan penyelamat di Sabah berhadapan dengan masalah beban hutang yang banyak disebabkan oleh tindakan mereka membuat pinjaman dari bank, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Khairudin Drahman.
Menurutnya beliau memandang serius perkara itu kerana beban hutang boleh menyebabkan anggota hilang tumpuan ketika bertugas dan menjejaskan peluang mereka naik pangkat.
“Biarpun perkara ini tidak serius membabitkan anggota bomba di negeri ini, tetapi ia perlu ditangani dengan bijak supaya tidak menular hingga menjejaskan prestasi jabatan,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerjanya ke Balai Bomba dan Pen-yelamat Sandakan di sini kelmarin.
Katanya 10 peratus anggotanya yang dikategorikan mengalami masalah beban hutang itu adalah mereka yang membuat pinjaman membabitkan potongan lebih 60 peratus dari gaji pokok.
Khairudin berkata ada anggotanya memohon pinjaman hingga RM100,000 dari bank dengan sebab ingin menutup hutang lama dan jumlah itu sudah tentu akan menyebabkan potongan gaji melebihi 60 peratus dari gaji pokok yang diterima.
Katanya anggota bomba yang dalam kategori itu tidak layak untuk kenaikan pangkat selaras dengan peraturan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan ia merugikan mereka sendiri.
Khairudin berkata terdapat 258 kekosongan jawatan yang perlu diisi terutama melalui kenaikan pangkat.
Beliau berkata pihaknya ada menyediakan bantuan khidmat nasihat kepada anggotanya yang menghadapi masalah beban hutang bagi memastikan mereka tidak hilang tumpuan ketika menjalankan tugas. - sabah times
No comments:
Post a Comment