Hikmah di sebalik pembekuan pembantu rumah Indonesia, kerajaan kini menimbangkan pakej yang menarik dan menjamin masa depan untuk rakyat tempatan menceburi kerjaya itu.
Antaranya gaji minimum lebih tinggi, caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Elaun Sara Hidup (COLA)
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, segala cadangan sedang diperhalusi oleh pihak kementerian bagi dimasukkan dalam pindaan Akta Pekerjaan 1955 bagi mengurangkan pergantungan berterusan terhadap pembantu rumah asing
"Kerajaan juga bercadang mewujudkan institusi bagi melatih pembantu rumah rakyat tempatan memandangkan kebanyakan penduduk negara ini kurang berminat terhadap kerjaya itu," katanya menjawab soalan tambahan Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu semasa menjawab soalan asal Matulidi Jusoh (BN- Dungun), Maznah berkata, hasil kajian mendapati 70 peratus daripada majikan hanya sanggup menawarkan gaji di antara RM300 dan RM500 sebulan.
"Sebanyak 26.8 peratus pula sanggup beri gaji bulanan antara RM500 dan RM700 manakala hanya 3.2 peratus sahaja yang sanggup menawarkan gaji melebihi RM700 sebulan," katanya
Beliau berkata, kajian juga mendapati cadangan mewujudkan institut latihan pembantu rumah rakyat tempatan bukan satu keperluan mendesak.
Bagaimanapun, katanya, akibat begitu banyak masalah yang melibatkan pembantu rumah asing sejak kebelakangan ini, kerajaan terpaksa mengkaji balik cadangan itu yang dibangkitkan pada 2007.
"Beberapa siri perbincangan dengan pihak berkaitan seperti pertubuhan majikan, pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan akan dijalankan bagi mendapatkan cadangan dan pandangan pelaksanaannya," kata beliau.
utusan
No comments:
Post a Comment