KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak tidak bercadang untuk membatalkan penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Santubong bermula 10 hingga 12 Julai ini, walaupun kini berlaku wabak Influenza A (H1N1).
Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata acara antarabangsa itu akan diadakan dengan kawalan sempurna dengan langkah kawalan sekarang dipertingkatkan lagi.
"Saya tidak fikir wabak ini sampai menjadi ancaman di Sarawak. Sehingga terdapat larangan untuk menghentikan semua acara antarabangsa, maka kita akan meneruskannya," katanya ketika menghadiri majlis mengambil ijazah ketiga Institut Eksekutif di sini, hari ini.
Wong berkata, acara muzik berkenaan adalah ikon muzik di Sarawak dan pembatalannya di saat-saat akhir akan mengecewakan ramai orang, terutama kepada mereka yang sudah membuat tempahan tiket dan pembayaran.
"Pemuzik dari negara yang tidak dijangkiti wabak, tidak boleh dinafikan peluang mereka untuk membuat persembahan di sini," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment