Dewan Pemuda PAS bawah kepemimpinan baru akan meningkatkan kempennya di Sabah dan Sarawak dalam usaha membantu Pakatan Rakyat menguasai kerajaan persekutuan, kata ketuanya.
“Kita ada projek ‘Semenanjung 2′ bagi mengukuhkan tapak Dewan Pemuda di Sabah, Sarawak dan Labuan,” kata Nasrudin Hassan.
“Jadi untuk itu, kita fikir, Sabah dan Sarawak tidak boleh dipandang di kelas kedua atau dipandang sepi. Kita bakal mewujudkan satu lajnah baru khusus untuk Sabah dan Sarawak agar kita dapat benar-benar pastikan PAS mampu tapak kukuh seperti di Semenanjung.”
Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, beliau bertegas tidak ingin mengubah penampilan sesuai dengan peranan barunya dalam politik walaupun ada pihak mempertikaikannya.
“Apabila orang pertikaikan, secara tak langsung mereka beri perhatian kepada saya. Saya hendak sebut, kepimpinan bukan dinilai daripada cara berpakaian, tetapi pada karisma, pemikiran dan kemahiran bekerja,” katanya.
“Dan saya tidak akan menukar imej, sebab itu diri saya. Dan saya tidak boleh jadi orang lain. Saya akan kekalkan imej itu. Saya percaya, kawan-kawan sedia memahaminya.
“Komentar-komentar itu saya anggap sebagai satu cabaran untuk saya buktikan bahawa saya bukanlah sebagaimana yang mereka sangka.”
Nasrudin diminta mengulas teguran terhadap penampilannya yang kerap berjubah dan berserban, berbeza dengan dua ketua dewan itu sebelumnya Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
Bagaimanapun ketika ditemui Selasa lalu, ulama muda berkelulusan syariah Universiti Al-Azhar itu tampil kemas dalam kemeja hitam berjalur tegak, serta berkopiah putih tanpa serban.
Setelah kira-kira sepuluh tahun Pemuda PAS tidak dipimpin oleh ulama, Nasrudin yakin, latar belakang pendidikannya tidak akan menjadi kekangan dan masalah untuk memimpin dewan itu.
Anak kelahiran Besut itu menambah, setelah lima penggal dalam Dewan Pemuda – sejak dua penggal bawah kepimpinan Mahfuz – beliau telah mendapat didikan organisasi yang mencukupi.
“Jadi, saya boleh mengimbangi latar belakang saya sebagai pelajar agama dengan kemahiran dan trend kerja daripada mereka. Sebab itu saya tak rasa kekok atau janggal,” katanya, yang pernah menuntut di pondok Al-Diniyyah Albakriah dekat Kota Bharu.
Setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan dewan itu awal bulan ini, Nasrudin berhasrat mengubah gaya pentadbiran Pemuda PAS dengan mengagihkan kerja “ala kabinet” dan “memanfaatkan semaksimum mungkin tenaga dan sumber-sumber parti.”
“Sebelum ini, kita lihat kecenderungan, sama ada sedar atau tidak, kalau nak buat kenyataan akhbar, kalau nak buat kenyataan rasmi, biasanya oleh ketua Pemuda. Akhirnya, tradisi itu sedikit sebanyak menenggelamkan exco-exco Pemuda yang lain.
“Jadi tahun ini, saya ambil pendekatan bekerja ala kabinet. Maknanya, selepas ini, exco Pemuda yang memegang portfolio masing-masing, mereka akan keluarkan kenyataan sendiri bersesuaian dengan portfolionya,” katanya.
“Dia akan bertindak dalam ruang dan bidang kuasa yang diberikan sebebas mungkin, tanpa perlu terikat atau dibayangi oleh ketua Dewan Pemuda sendiri.”
Dalam wawancara 90 minit itu, Nasrudin juga menegaskan keperluan mendekati bukan Melayu bermula dengan program pendidikan dan kebajikan.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama, beliau bertegas mempertahankan tindakan tradisional dewan itu yang lantang menentang pengajuran konsert artis dan penjualan alkohol di kalangan orang Islam.
“Yang pertama, kita akan teruskan dasar itu. Sebab apa pun masalahnya, keadaannya, kita tetap tidak boleh berkompromi dengan kemaksiatan, kemungkaran, kerana itu sangat asas dalam Islam. Yang haram itu tetap haram hukumnya.
“Sementara yang halal itu tetap halal hukumnya. Isunya adalah isu pendekatan, cara kita menangani isu itu. Maka untuk itu, kita akan kaji pendekatan yang telah kita bawa sebelum ini. -Malaysiakini
No comments:
Post a Comment