PUTRAJAYA 17 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan sambutan pendaftaran pemilih baru yang dianggarkan seramai tiga juta orang mencapai usia 21 tahun masih belum berbuat demikian.
Serentak itu, badan itu bercadang menaikkan bayaran RM1 sedia ada kepada kadar yang akan ditentukan kelak, untuk mereka yang menyahut seruan menjadi pengundi.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof (gambar) berkata, pihaknya berharap sejumlah 70 peratus yang belum lagi mendaftar dapat berbuat demikian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
‘‘Setakat ini sebanyak 11 juta pengundi berdaftar berada dalam rekod kami. Namun, nampaknya tiga juta lagi tidak mengambil berat langsung untuk menunaikan tanggungjawab mereka mendaftar pemilih.
‘‘Itu tidak lagi dijamin selepas mendaftar, mereka akan mengundi. Terpaksalah pula kami nanti pinda akta untuk memaksa mereka (mengundi),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Abdul Aziz berkata, SPR setakat ini telah berusaha sedaya yang ada untuk menarik mereka yang telah mencapai usia 21 tahun mendaftar diri.
‘‘Ada juga saranan supaya mereka yang mencapai umur berkenaan secara automatik disahkan pengundi berdaftar, kami akan kaji implikasinya,” katanya.
Mengulas persiapan SPR menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai 14 Julai depan, Abdul Aziz berkata, pihaknya telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk memasang lampu isyarat sementara di jambatan-jambatan kecil sekitar kawasan tersebut.
No comments:
Post a Comment