JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 29, 2009

MAS RUGI RM 695 JUTA


KUALA LUMPUR 28 Jun - Sudah dijangka. Itulah ungkapan yang boleh dikatakan berhubung kerugian sebanyak RM695 juta yang dicatatkan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) pada suku pertama tahun ini.

Punca utama kerugian tersebut adalah kesilapan MAS dalam menetapkan harga lindung nilai bahan apinya.

Dengan ketidaktentuan harga pasaran bahan api semasa telah memburukkan keadaan selain masalah-masalah sampingan lain yang turut menjejaskan keputusan kewangan syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Persoalannya sekarang, kerugian sebanyak RM695 juta adalah jumlah yang besar dan mampukah MAS mengatasi kekusutan tersebut pada suku-suku seterusnya pada tahun ini?

Kebanyakan penganalisis berpendapat, MAS akan terus berada dalam 'zon merah' (rugi) sepanjang tahun ini, walaupun pihak pengurusan syarikat penerbangan itu yakin dapat memperoleh keuntungan pada suku-suku seterusnya melalui penggunaan Standard Laporan Kewangan 139 (FRS 139).

FRS 139 memerlukan syarikat penerbangan mengenal pasti kerugian pergerakan penanda pasaran (mark-tomarket/MTM) terhadap kontrak lindung nilai bahan api.

MTM bahan api sangat sensitif terhadap pergerakan harga minyak. Sekiranya keadaan semasa kekal seperti sekarang, MAS bakal memperoleh keuntungan lindung nilai minyak sebanyak RM1.1 bilion pada suku kedua berdasarkan kepada harga semasa minyak mentah dunia pada paras AS$66 setong (RM231), kata MAS.

FRS 139 mempunyai persamaan dengan Standard Perakaunan Antarabangsa 39 yang digunakan oleh syarikat-syarikat penerbangan seluruh dunia.

Secara rasminya Malaysia akan menggunakan FRS 139, berkuat kuasa Januari 2010.

Apabila syarikat penerbangan itu menggunakan FRS 139 pada masa hadapan, imbangan serta keuntungan dan kerugian dijangka berada dalam keadaan tidak menentu terutama dengan pergerakan turun naik harga bahan api global dan polisi lindung nilai MAS adalah sehingga tahun 2011.

Melangkah ke hadapan, MAS perlu bijak dan lebih kreatif dalam mencari penyelesaian yang sewajarnya supaya mereka dapat keluar dari 'zon merah'.

Untuk MAS bertahan dan kekal relevan pelbagai perkara perlu diambil kira terutama dalam meningkatkan pelaburan promosinya.

Tidak dinafikan beberapa usaha MAS sejak kebelakangan ini seperti memperkenalkan promosi pakej rangsangan MAS, promosi perjalanan (travel fair), promosi harga sifar dan sebagainya telah mendapat sambutan menggalakkan.

Tetapi kebanyakan promosi tersebut hanya tertumpu kepada dalam talian, ini bermakna hanya mereka yang mempunyai akses serta pelayar Internet boleh menikmati promosi tersebut.

Sebaliknya, MAS juga perlu menggunakan media-media lain bagi mempromosi kempen mereka seperti yang dibuat oleh syarikat-syarikat penerbangan lain.

Cara lain yang boleh dilakukan MAS adalah mengkaji semula semua laluan serta waktu perjalanan mereka untuk kemudahan pelanggan.

Selain waktu penerbangan yang bersesuaian, hubungan antara laluan juga perlu diambil kira, dari segi keberkesanan serta tarikannya kepada pelanggan

Dalam industri yang menawarkan persaingan sengit, pesertanya mempunyai sifat kreatif bagi menarik pelanggan.

Sebagai contoh, sebuah syarikat penerbangan tempatan sanggup menanggung kerugian sehingga RM400 juta setahun dengan menghapuskan caj pentadbiran demi untuk mengekalkan harga terendah kepada pelanggan mereka.

Secara logik dalam dunia perniagaan, tiada siapa yang mahu korbankan keuntungan dan apa yang diperlukan ialah menerapkan produk inovatif bagi mengimbangi 'kerugian' yang bakal dihadapi dan konsep seperti ini perlu ada pada MAS.

Satu lagi perkara yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan kebangsaan ialah memberi tumpuan kepada pasaran Indonesia.

Sudah memadai jika MAS mampu menarik satu atau dua peratus penduduk negara itu menggunakan perkhidmatannya bukan hanya ke Kuala Lumpur tetapi destinasi lain seperti Eropah dan ini dilakukan oleh pesaingnya sebelum ini.

Bagaimanapun ia hanya boleh dilaksanakan jika syarikat mempunyai hubungan penerbangan dan masa menunggu di lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang singkat.

Sama seperti dalam bidang ketenteraan, dalam perniagaan sesebuah syarikat perlu mengenal pasti musuh atau pesaingnya selain mengenal pasti kelebihan yang ada.

Sedar ataupun tidak terdapat penduduk negara ini menggunakan syarikat penerbangan asing untuk ke sesuatu destinasi, termasuk mengerjakan umrah.

MAS harus fokus dan sedar dengan pesaing sebenar mereka seperti syarikat penerbangan antarabangsa yang lain dan bukan hanya bersaing di peringkat tempatan atau sebagai 'jaguh kampung' sahaja.

MAS perlu melihat syarikat penerbangan antarabangsa seperti Singapore Airlines (SIA) dan Thai Airways cuba mengatasi mereka dari pelbagai aspek.

Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, mereka sepatutnya menjadi pencetus, idola serta berani dalam membuat sebarang keputusan, bukan kekal sebagai pengikut kepada sesuatu trend yang diperkenalkan syarikat penerbangan lain dalam usaha mengembalikan kegemilangannya.

UTUSAN

No comments: