Mangsa yang juga penerbit rancangan di Stesen Tawau FM, Tamrin Jamil, 34, berkata, ketika kejadian beliau sedang bertugas di Lahad Datu dan hanya isteri dan dua anak saudaranya yang berada di rumah mereka ketika kejadian berlaku.
Ujarnya, pencuri dipercayai telah masuk ke dalam rumah melalui tingkap pada kira-kira jam 5.30 pagi, ketika kesemua penghuni sedang nyenyak tidur.
Antara barang yang dilarikan ialah kunci kereta, tiga kad bank, Mykad, tiga telefon bimbit serta wang syiling dan kertas, yang kesemuanya disimpan di dalam satu beg.
Laporan polis telahpun dibuat dan pihak polis katanya telahpun datang ke rumahnya untuk melakukan penyiasatan serta pemeriksaan cap jari.
Kejadian terbaru itu merupakan kejadian ketiga yang menimpa pengamal media di Tawau dalam tahun ini, melibatkan kes pecah masuk rumah.
Pada kes pertama awal Januari lepas, isteri wartawan Utusan Borneo Tawau, Shamry Mohd. Sani diketuk dengan batu-bata oleh seorang lelaki yang dipercayai ingin merompak rumahnya, di Taman Ria 4.
Bagaimanapun, lelaki tersebut melarikan diri setelah mangsa menjerit meminta pertolongan.
Pada bulan tersebut juga, jurufoto Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) Rayner Majantim kerugian kira-kira RM 5,000 apabila pelbagai peralatan kamera serta wang tunai miliknya, dilarikan pencuri yang memecah masuk rumahnya di Taman Semarak Tawau.
Rayner yang ketika kejadian sedang bercuti di Kota Kinabalu, hanya menyedari perkara itu setelah kembali ke rumahnya beberapa hari kemudian.
No comments:
Post a Comment