JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, June 19, 2009

DUN SARAWAK BUBAR TAHUN DEPAN ???


KUCHING: Datuk Seri Najib Razak berkata, pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan akhir tahun depan atau awal 2011, penting sebagai pengukur prestasi Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2012.

Dalam perjumpaan tertutup dengan pemimpin dan wakil rakyat BN Sarawak di sini semalam, Perdana Menteri memberitahu, persiapan jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, bermula dengan Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yang juga Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datin Fatimah Abdullah, berkata Najib mahu semua pemimpin dan wakil rakyat BN menyuntik kesegaran pendekatan supaya lebih rapat dengan rakyat mulai sekarang.

Katanya, pemimpin dan wakil rakyat BN juga diminta mencontohi pendekatan Perdana Menteri ke arah merapati masyarakat akar umbi, sekali gus memastikan BN dapat diterima sebagai parti yang berjiwa rakyat.

“Beliau berkata, jika BN Sarawak menang besar dalam pilihan raya negeri, Insya-Allah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pun BN akan menang besar,” katanya selepas perjumpaan dan dialog tertutup pemimpin dan wakil rakyat BN Sarawak dengan Perdana Menteri di sini, semalam.

Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sekarang akan berakhir pada 24 Julai 2011 dengan pilihan raya dijangka diadakan lewat 2010 atau awal 2011.

Fatimah berkata, Perdana Menteri juga mengingatkan semua wakil rakyat BN supaya mengambil langkah serius bagi memantapkan kekuatan BN dan mahu mereka saling bekerjasama serta tidak membiarkan bahtera yang mereka naiki sekarang karam.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Tan Sri Dr George Chan, berkata Perdana Menteri juga mengingatkan semua wakil rakyat BN di Sarawak supaya memenuhi segala janji kepada rakyat sejajar dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Pesanan utama beliau ialah supaya kita turun padang menemui rakyat kerana kerajaan BN adalah sebuah kerajaan untuk rakyat,” katanya selepas pertemuan itu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk William Mawan dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing.

BHARIAN

No comments: