JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, June 24, 2009

Kisah Lubang Batu Pinutul


Kelye Jaman (kanan) dan Wenchis Suliong menunjukkan terowong Batu Pinutul di Tenom, Sabah, baru-baru ini.


TENOM 23 Jun - Kisah Lubang Batu Pinutul atau terowong yang terletak kira-kira satu kilometer dari sini tidak banyak diketahui khususnya oleh generasi muda hari ini.

Ketiadaan maklumat mengenai terowong berkenaan menyebabkan pelbagai cerita tidak baik didengar mengenai terowong itu.

Paling banyak sudah tentu mengenai cerita yang menyatakan kononnya terowong berkenaan ada penunggu dan berpuaka.

Justeru, tidak ramai yang berani untuk berkunjung ke terowong berkenaan malah tidak keterlaluan dikatakan ramai yang akan berasa seram sebaik melalui terowong berkenaan.

Seorang warga emas, Kunjin Basanon 80, berkata, Lubang Batu Pinutul merupakan terowong yang dibina oleh Syarikat British Borneo Utara pada sekitar tahun 1884 bagi menghubungkan laluan kereta api dari Beaufort ke Tenom.

Katanya, landasan kereta api itu amat penting kerana ia merupakan satu-satunya jalan menghubungkan kawasan pedalaman di Sabah dengan dunia luar.

''Pembinaan terowong itu bukannya mudah malah banyak yang terkorban. Pada masa itu semua kerja dilakukan 100 peratus menggunakan tenaga manusia," katanya.

Menurut beliau lagi, dakwaan mengatakan terowong berkenaan berhantu adalah karut.

''Sebenarnya disebabkan jaraknya panjang dan apabila angin bertiup melalui terowong berkenaan akan terhasil pelbagai bunyi yang menyeramkan dan ditambah dengan kelawar-kelawar yang berterbangan di atas kepala.

''Jadi kalau orang itu penakut maka dia akan terbayang macam-macam termasuk mengatakan ada penunggu," jelas beliau.

Menurutnya, terowong tersebut bukan sahaja dijadikan laluan kereta api tetapi ketika Perang Dunia Kedua ia telah menjadi tempat perlindungan orang kampung daripada serangan bom yang digugurkan oleh tentera British.

Beliau menambah, terowong berkenaan juga menjadi rumah persinggahan kepada penduduk kampung yang berulang alik mencari binatang buruan di sekitar Banjaran Crocker antara Pangi dan Rayoh.

Kunjin mengakui bahawa sekitar tahun 70-an kawasan di situ masih dikeliling hutan tebal dan tidak banyak kawasan kebun persendirian.

Namun keadaan berubah selepas pembinaan Empangan Hidro Pangi yang menyaksikan kawasan tersebut mula menjadi tumpuan sekali gus menggalakkan orang kampung untung mengusahakan tanah mereka di kawasan berkenaan.

''Selepas tahun 1982, keadaan di sini sudah banyak berubah. Kekerapan kereta api juga telah bertambah daripada sekali sehari kepada empat kali sehari," tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang juru pandu bot, Kelye Jaman 25, berkata, terowong tersebut tidak mempunyai penunggu seperti yang didakwa oleh kebanyakan penduduk di sini.

Beliau yang sentiasa berulang alik di kawasan itu membawa pelancong dengan troli tidak pernah terlihat atau mengalami perkara-perkara ganjil seperti didakwa.

''Memanglah ada sedikit suara bising dan bunyi ganjil apabila melalui terowong itu tetapi itu semua suara binatang yang ada di situ seperti kelawar dan burung hantu," jelasnya.

Pendapat itu diakui oleh rakannya, Wenchis Suliong 23, yang menyifatkan cerita tersebut sebagai cerita dongeng semata mata dan tidak berasas sama sekali.

''Itu semua cerita karut dan disensasikan oleh manusia yang malas berkerja cari wang lebih.

''Dahulu seminggu sekali sahaja pelancong asing ke Pangi tetapi sekarang boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pelancong yang datang dengan menaiki troli buatan sendiri," katanya.

utusan

No comments: