JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 22, 2009

ITULAH MENTALITI ORANG SARAWAK:

Berikut adalah ulasan mengenai tulisan Abang Madzan di dalam ruangan pendapat ini. Yang baik-baik hanya Barisan Nasional (BN) sahaja, manakala yang onar nampaknya parti pembangkang, menurut kata beliau. Kenapa tidak mahu ulas tentang kehidupan Yang Berhormat-Yang Berhormat (YB) Sarawak yang kaya raya, hasil daripada perkongsian perladangan kelapa sawit dan monopoli projek-projek pembangunan kerajaan? Sebagai Orang Sarawak tak kan tak tahu bagaimana mereka yang berkuasa di Sarawak mengumpul harta kekayaan ini?

Rakyat Sarawak sememangnya tidak mahu membuat sesuatu yang tidak menyenangkan semasa dalam pilihan raya. Tetapi ini bukan bererti mereka tidak mahu berjuang menentang kemungkaran. Apabila rakyat memiilih untuk menentang demi kesejahteraan dan keadilan hidup, maka akan ada usaha untuk membeli ketua-ketua kumpulan masyarakat ini. Tidak menghairankan bahawa sesetengah daripada mereka mahu dibeli. Bagaimanapun, ada juga pemimpin pertubuhan yang sanggup membela hak dan suara rakyat demi kesejahteraan kehidupan di negeri Sarawak.

Pendekatan memperbodoh-bodohkan dan menakut-nakutkan pengundi-pengundi Sarawak merupakan kekuatan sebenar BN Sarawak. Kalau ada rakyat nak lawan, akan muncul segala macam ugutan seperti penarikan balik kemudahan / bantuan, menyekat projek pembangunan dan kadang-kadang kerahan Polis digunakan. Sesungguhnya rakyat Sarawak takut benar dengan kuasa Polis ini. Maklumlah mereka sengaja dibiarkan agar terus buta undang-undang. Bila rakyat jelata pula dibutakan undang-undang, maka senanglah mereka yang memerintah mengeksploitasi hak dan pemikiran mereka.

Tidak payahlah nak memuji-muji Sarawak. Daripada meminta cara-cara penyokong-penyokong Sarawak dalam pilihan raya dicontohi oleh pengundi di Semenanjung, adalah lebih baik meminta pemimpin-pemimpin Sarawak dilantik ke jawatan Timbalan Perdana ataupun terus Perdana Menteri. Sekiranya tulisan saudara ini tepat tafsirannya, nampak sangat politik Sarawak mampu dijadikan contoh. Oleh itu, rakyat Sarawak juga berhak menerima jawatan yang setimpal dengan sumbangan yang mereka berikan.

Ada pandangan mengatakan bahawa Ahli-Ahli Parlimen Sarawak dianggap malas dan kurang bersuara di Dewan Rakyat, maka sebab itulah kebolehan untuk memimpin negara tidak beberapa nampak. YB Wan Junaidi (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) pun malu-malu untuk menegur sikap YB Sarawak. Kesimpulannya, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Orang pendiam dan tidak pernah marah, kalau mereka (sudah) marah akan lebih teruk dan dahsyat daripada golongan yang suka-suka marah. Itulah Orang Sarawak!

ABANG MADZAN

POLITIK SARAWAK SEPERTI TERANCANG?: Trend kejadian dan peristiwa berlaku satu demi satu, dan semua itu menjadi tajuk-tajuk utama media massa setiap hari. Begitu juga dengan senario politik tanah air. Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Pembangkang di Perak, maka berlakulah tragedi lompat-melompat parti dan akhirnya kepada peristiwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang meninggal dunia seorang demi seorang meninggal dunia. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun mengisytiharkan pilihan raya kecil mesti diadakan bagi menggantikan Yang Berhormat yang meninggal dunia. Jadi, dari sebuah negeri ke negeri lain diadakan pilihanraya kecil.

Senario ini bukan sahaja di Semenanjung, malah Sarawak pun tidak terkecuali daripada mengadakan pilihan raya kecil dengan serentak oleh SPR untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Belanja bukan kepalang besarnya yang terpaksa ditanggung. Dalam konteks demikian, inilah yang dikatakan seolah-olah satu trend terjadi.

Berbalik kepada politik di Sarawak. Walaupun ada sedikit perbandingan, tetapi ianya adalah satu realiti. Kalau dikaji secara umum, pecahan kaum di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak yang dikatakan terdapat kaum terbesar hinggalah pecahan suku kaum atau ethnik, maka Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang mempunyai pecahan suku kaum yang terbanyak. Tetapi, di Semenanjung apa yang kita dengar adalah lebih kepada kaum Melayu, Cina dan India jika bercakap mengenai populasi penduduk berasaskan kaum. Jika ditinjau pula dari segi politik di Sarawak, maka boleh dikatakan bahawa "kepanasannya" adalah kurang berbanding di Semenanjung.

Di Sarawak walaupun berlaku pilihan raya, sama ada umum atau kecil (jikapun berlaku), ianya tidak menjadi sesuatu hal yang besar. (It is no big deal, bah). Di negeri Kenyalang, jarang berlakunya tuduh-menuduh, buat laporan polis, termasuk protes sampai berbaring di atas jalan raya dengan memakai kopiah. Imej visual begini amat lucu sekali. Ini bukan bermaksud penduduk Sarawak tidak tahu berpolitik atau tidak serius dalam memilih wakil rakyat, tetapi orang Sarawak sebenarnya malas hendak menimbulkan keadaan yang tidak selesa semasa pilihan raya. Cuma yang membuat onar di musim-musim pilihan raya adalah pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang kononnya lebih arif mengenai pentadbiran negeri sehingga tergamak mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan yang boleh memecahbelahkan penduduk atau kaum di Sarawak. Sedangkan kumpulan ethnik Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Kelabit, Kedayan, Kenyah, Kayan dan beratus-ratus lagi suku ethnik di Sarawak yang tidak rela dipecahbelahkan oleh fahaman politik yang begitu sempit sekali.

Apabila kita perhatikan selepas pilihan raya selesai diadakan di Sarawak, penyokong kerajaan yang memerintah dan penyokong parti pembangkang boleh duduk bersama-sama dan minum semeja selain bertepuk tampar seolah-olah tidak ada apa-apa pun berlaku sebelum itu. Sedangkan sebelum ini, anggota parti masing-masing bersungguh-sungguh berkempen untuk meyakinkan pengundi. Mereka tidakpun melakukan perkara yang menyeleweng, seperti demonstrasi, ugut mengugut dan macam-macam lagi. Sebab mereka tahu bahawa selepas pilihan raya, mereka akan tetap bersentuh bahu sama ada di kampung-kampung atau bandar mahupun di kedai-kedai makan. Contoh-contoh seperti inilah yang dikatakan politik penduduk Sarawak amat unik.

Sekiranya senario berpolitik di Sarawak dapat dimanfaatkan di Semenanjung, maka insya Allah aman selamanyalah negara Malaysia. Rakyat Malaysia pun selamat. Akhirnya, masyarakat dunia akan menghormati Malaysia Bersatu Padu dan Maju!.

surat pembaca bernama online

No comments: