JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, June 17, 2009

Potensi Meluas Untuk Industri Media Baru Digital

KOTA KINABALU, 17 Jun (Bernama) -- Potensi bagi industri media baru digital untuk menjadi sektor pertumbuhan ekonomi paling berpengaruh amat luas, kata Kamil Othman, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Teknikal untuk program pembangunan industri media baru digital di bawah Kolej Yayasan Sabah (KYS).

Beliau berkata permintaan global untuk kandungan dalam konteks penyatuan persekitaran -- pemusatan komunikasi, perkomputeran dan kandungan -- dianggarkan bernilai AS$1.4 trilion menjelang 2011.

"Ini telah memberikan peluang peningkatan kepada industri hibrid baru, iaitu integrasi teknologi dan kreativiti yang bergantung kepada kreativiti manusia sebagai sumber ekonomi yang terpenting. Ini adalah dunia media baru digital.

"Malaysia tidak terkecuali dalam mengiktiraf bidang pertumbuhan baru yang sukar ini," kata beliau semasa mesyuarat kedua jawatankuasa teknikal hari ini.

Kamil berkata cabarannya ialah untuk sentiasa memajukan industri ini dengan cara yang betul sambil menambah cara yang sesuai untuk mewujudkan persekitaran ini ialah membenarkan bakat kreatif mengalir.

"Memajukan minda kreatif adalah kunci kepada mengukuhkan industri ini," kata beliau.

Kamil berkata Sabah telahpun mengambil langkah ini menerusi usaha-usaha KYS yang telah memulakan program kemahiran yang menyeluruh, dengan permulaan kepada sektor animasi.

"Ini kemudiannya secara berperingkat akan dilanjutkan kepada sektor filem dokumentari dan rencana.

"Evolusi ini bukanlah secara teori. Hakikatnya, orang yang dilatih sebagai penulis skrip sebagai contohnya, boleh menghasilkan skrip untuk sebarang kandungan termasuk program berita, program kemasyarakatan, hiburan, bahan pendidikan dan perkhidmatan kerajaan.

"Mereka yang dilatih dalam animasi 3D boleh digunakan bukan sahaja menghasilkan kartun tetapi untuk reka bentuk pembuatan, perancangan bandar, simulasi realiti maya dan rangkaian aplikasi berasaskan digital yang lain," kata Kamil.

"Di Sabah, alam semulajadi dan budaya boleh menjadi asas kepada produksi kandungan. Ia bukan semata-mata mengenai menghasilkan cerita mengenai Sabah tetapi turut menyediakan media dengan maklumat untuk sektor-sektor seperti pelancongan, perkhidmatan kerajaan negeri, pendidikan, pertanian dan macam-macam lagi.

"Inputnya termasuklah menggunakan animasi mengajar orang ramai bagaimana untuk sembahyang dengan cara yang betul atau menanam orkid. Ia lebih kepada menjadikan laman sesawang lebih menarik dan dinamik dengan memaparkan bidang yang menjadi minat ramai lebih berwarna-warni dan menggembirakan," kata beliau.

Kamil berkata dengan program itu dikendalikan oleh kerajaan negeri, beliau yakin Sabah telah bersedia mewujudkan kumpulan sumber berkemahiran bagi menembusi budaya dan aset aslinya sendiri.

"Ini juga akan menyumbangkan kepada permintaan global untuk kandungan serta pemuliharaan bagi generasi masa depan," tambah beliau.

No comments: