Memang tidak dinafikan pembinaan deretan gerai di situ memberi banyak peluang untuk anak tempatan berniaga dan penduduk setempat tidak perlu pergi sehingga Kota Sentosa atau Bandaraya Kuching untuk membeli keperluan harian.
Bagaimanapun keadaan persekitaran gerai tidak pernah disenggara, parit tersumbat, lantai berlumut, langau berterbangan dan air bertakung membuat saya terfikir apakah rasional pihak MDS menyediakan kemudahan, tetapi tidak dijaga dengan baik.
Sekiranya gerai berkenaan dibina untuk kemudahan orang ramai, mengapa tidak disenggara dengan sempurna. Dengan sikap sesetengah penjaja yang tidak bertanggung jawab membuang isi perut ikan di kawasan semak di belakang gerai mengundang segala lalat dan langau mengerumuni barang jualan.
Secara tidak langsung, ia menyebabkan barang yang dijual di situ tidak selamat dan terdedah kepada pencemaran. Tidak cukup dengan fenomena yang menjijikkan ini, masalah lain yang tercetus sejak terbinanya gerai berkenaan ialah gangguan lalu lintas terutama ketika waktu puncak.
Mungkin tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa pembinaan gerai itu tidak dilaksanakan dengan perancangan teliti. Masakan tidak, gerai dibina di tepi jalan tanpa menyediakan ruang pakir mencukupi kepada pengunjung.
Ruang pakir yang ada dipenuhi lori dan van penjaja yang berniaga di situ. Pengunjung tiada pilihan lain selain meletak kenderaan di sepanjang jalan yang akhirnya menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Sebagai pembayar cukai, saya ingin menyeru pihak berkuasa tempatan agar menaik taraf gerai berkenaan serta menyediakan kemudahan asas seperti ruang pakir mencukupi, sistem perparitan yang sempurna dan sebagainya.
CARLOS,
surat pembaca bharian
No comments:
Post a Comment