JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 29, 2009

APA RELEVANNYA WISMA PUTRA DI SABAH?

HASRAT Kerajaan Persekutuan untuk membuka dua pejabat cawangan Wisma Putra di Sabah dan Sarawak bagi menyediakan khidmat konsul disifatkan rakyat Sabah sebagai satu lagi bentuk 'pencerobohan' terhadap 20 Perkara dan Kedaulatan Sabah!.

Ketika mengumumkan pembukaan cawangan Wisma Putra baru-baru ini, Menteri Luar Datuk Anifah Aman berkata pejabat di Kota Kinabalu serta Kuching diwujudkan bagi kemudahan penduduk Sabah dan Sarawak yang pada masa ini terpaksa melakukan perjalanan ke Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan khidmat Wisma Putra.

Katanya, beliau telah pun memaklumkan kepada kedua-dua Ketua Menteri (Sabah dan Sarawak) mengenai rancangan untuk membuka pejabat cawangan itu dan kedua-dua pemimpin itu gembira dengan perkembangan berkenaan.

Anifah berkata pejabat cawangan itu akan menghulurkan bantuan kepada pejabat protokol yang berkenaan dalam perkara berkaitan lawatan kenamaan asing ke kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata ruang pejabat yang bersesuaian telah pun dikenal pasti untuk penubuhan pejabat cawangan di kedua-dua ibu negeri itu dan di Sabah, pertimbangan dibuat bagi menempatkannya di pejabat pentadbiran persekutuan di Likas.

Namun isu sebenarnya di sini ialah bukan penubuhan Wisma Putra yang menjadi dominan sebaliknya menyelesaikan masalah tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Jika Sabah dan Sarawak benar-benar satu wilayah yang berdaulat dan memang sebahagian daripada negara kita, Malaysia, kenapakah sehingga ke hari ini, Kerajaan Filipina tidak bersetuju untuk mewujudkan konsulate di Kota Kinabalu.

Persetujuan rakyat Sabah untuk bersama-sama membentuk sebuah negara Malaysia pada September 1963 tidak dapat diterima oleh Filipina yang menganggap Sabah sebahagian daripada wilayahnya walaupun Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengakui rakyat Sabah yang bersetuju melalui referandum yang dijalankan oleh Suruhanjaya Cobbold.

Sabah bukan sahaja dituntut Filipina, malah waris Sultan Sulu semenjak sebelum Perang Dunia Kedua. Pada 1961 isu ini bangkit semula apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan Gagasan Malaysia yang termasuk Borneo Utara.

Kerajaan Filipina di bawa kepimpinan Macapagal mempersoalkan kesahihan hak milik British ke atas Borneo Utara pada 22 Jun 1962. Malah pada Oktober dan November 1962 Macapagal membawa kes tuntutan ini ke PBB dan kemudian berbaik dengan Soekarno serta Azahari (pemimpin parti rakyat Brunei) untuk menentang pembentukan Malaysia.

Satu Sidang Kemuncak diadakan di Manila pada akhir Julai 1963 oleh Tunku Abdul Rahman, Soekarno dan Macapagal untuk menyelesaikan pertikian tentang pembentukan Malaysia dan kes Borneo Utara.

Kerajaan Filipina dan Indonesia bersetuju untuk menyokong pembentukan Malaysia sekiranya terbukti mendapat sokongan penduduk terbabit dan disahkan oleh PBB. Persetujuan dicapai pada 9 Julai 1963 antara kerajaan British dan Tanah Melayu tentang penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walaupun hubungan Malaysia dengan Filipina telah pulih tetapi Kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

Saya hairan kenapa Kerajaan British, Jepun, Indonesia dan sebagainya mempunyai pejabat konsulat di Sabah sedangkan hanya beberapa kerat sahaja orang Jepun dan British di Sabah berbanding hampir sejuta warga Filipina di Sabah.

LEGASI.... Mungkinkah Gloria Aryoyo Macapagal akan memperbaharui tuntutan Macapagal terhadap Sabah akibat manipulasi Institusi Diraja Sulu yang tidak wujud lagi sejak 1936!

Dalam persidangan Dewan Rakyat sedikit masa lalu, kita dimaklumkan bahawa Malaysia dan Filipina sudah menandatangani persetujuan bersama iaitu Malaysia menubuhkan konsulat di Davao dan Filipina mengadakan konsulat di Kota Kinabalu dan peruntukannya pun sudah ada dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk mereka buat langkah politik membuka konsulat di Kota Kinabalu.

Namun sehingga ke hari ini hanya Malaysia yang membuka Konsulat di Davao manakala Filipina belum melakukan apa-apa tindakan melainkan mewujudkan 'konsulat' sarang burung iaitu dijalankan oleh 'orang tertentu' yang menubuhkan pejabat haram untuk 'mencari makan' memproses dokumen warga Filipina untuk dihantar ke Konsulat Filipina di Kuala Lumpur.

Soal tuntutan Filipina kepada Sabah ini memang telah dibangkitkan dahulu tetapi tindakan eksekutif Republik Filipina ini lain daripada tindakan legislatif di negara Filipina di mana apa yang kita lihat selama ini, termasuk perundingan dengan MIOF tidak selaras dengan hasrat Manila hendak menyelesaikan tuntutan Filipina.

Mujur permintaan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menolak permohonan Filipina untuk mencelah dalam isu Sipadan dan Ligitan yang akhirnya memberikan kita hak kedaulatan ke atas dua pulau legenda tersebut.


Tindakan provokatif ini tidak selaras (inconsistent) dengan apa yang Kerajaan Filipina suarakan selama ini kerana percubaan mereka mencelah berdasarkan tuntutan mereka ke atas Sabah sehingga membuatkan rakyat Sabah bukan sahaja khuatir dengan kedaulatan negara Malaysia di Sabah, Sarawak dan Labuan bahkan meminta Wisma Putra mengambil tindakan dan profil yang lebih tinggi dan lebih agresif.

Cadangan penubuhan Wisma Putra ini, secara tidak langsung ia merupakan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk mencengkam 'kebebasan' Sabah dengan 'meremehkan' isu tuntutan Filipina sebaliknya hanya untuk kegunaan orang kenamaan untuk ke luar negara.


Ketika Sabah bersetuju menubuhkan Gagasan Malaysia bersama Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu, kita sudah meletakkan syarat 20 Perkara yang pada mulanya dipersetujui, tetapi setelah merdeka Perjanjian 20 Perkara sudah menjadi surat 'khabar lama.'

Kerajaan Boneka BN yang diwujudkan sejak 16 September 1963 tidak memberi sebarang kelebihan kepada Sabah sebaliknya meletakkan Sabah dan rakyatnya di dalam 'penjara politik BN' yang kuncinya di pegang Perdana Menteri Malaysia yang bukan sahaja berkuasa menaik atau menurunkan Ketua Menteri Sabah.

Dengan penubuhan cawangan Wisma Putra di Sabah, menunjukkan Malaysia mempunyai dua entiti yang saling bertindih, satu Wisma Putra Kuala Lumpur dan yang satu lagi Wisma Putra Sabah dan satu lagi di Sarawak. Ini bererti, tiga kuasa akan bertindih dalam satu masa.

Apakah fungsi sebenarnya Wisma Putra Sabah? Adakah ketika Anifah Aman menjadi Menteri Luar, beliau mendapati Wisma Putra Kuala Lumpur tidak berfungsi dan gagal menjalankan tugasnya di Sabah? Atau Anifah Aman mahu menunjukkan taringnya kepada Kerajaan Pusat yang beliau lebih pintar daripada mereka di Wisma Putra Kuala Lumpur?

Kalau Wisma Putra Sabah, diwujudkan di negeri Sabah, seolah-olah dilihat satu bentuk penjajahan baru pula diwujudkan, kenapa tidak, kalau semua kuasa eksekutif dipegang oleh Wisma Putra Sabah dan
Kerajaan Negeri cuma sebagai boneka tanpa kuasa.

Apa lagi yang Anifah Aman mahukan? Tidak cukupkah peranan Setiausaha Persekutuan di Sabah yang secara terang-terangan mencabul 20 Perkara dan Perlembagaan Persekutuan dan memperkecilkan Kerajaan Negeri Sabah seolah-olah Sabah berada di Luar Malaysia yang memerlukan Setiausaha Persekutuan yang bertaraf menteri dan jusa?

Kita percaya, suara rakyat Sabah akan mula berkumandang menerusi NGO yang sudah pastinya akan menentang habis-habisan hasrat untuk menubuhkan sebuah lagi Wisma Putra selain Wisma Putra di Kuala Lumpur.

Kadang-kadang Kita juga perlu berfikir dan bertanya, kenapa Sabah mesti jadi pilihan dan sasaran Wisma Putra Sabah? Bukan Kelantan, Selangor, Kedah dan sebagainya yang diperintah Kerajaan Pakatan Rakyat?

Oleh: HALIK ZAMAN

No comments: