KUCHING: Sebuah kontena yang mengandungi kerepek ubi kayu, berjenama 'Chippi Snacks' keluaran Manja Enterprise, sebuah syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera di bandar raya ini, akan menembusi pasaran London, awal bulan depan.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Naroden Majais, berkata kontena terbabit akan berlepas ke London dari Pelabuhan Senari di sini, hari ini (Rabu).
Beliau berkata, kerepek itu akan dijual di Komita Malaysia Trading House,
Katanya, kejayaan itu ekoran gandingan usaha sama beberapa pihak berkaitan termasuk Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd sebagai pengeksport dan Premium Quality Products Ltd sebagai pengimport manakala Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri bertanggungjawab sebagai ejen pembangunan usahawan dan pemasaran produk.
Katanya, RMS Furn Corporation Sdn Bhd bertindak sebagai vendor kepada kontrak ladang dan Manja Enterprise memproses ubi kayu menjadi kerepek.
"Kejayaan ini juga milik usahawan tani yang mengusahakan penanaman ubi kayu secara kecil-kecilan di negeri ini.
"Saya difahamkan permintaan kerepek ubi kayu Sarawak yang disasarkan oleh Premium Quality Products Ltd, sebanyak lima kontena sebulan iaitu lebih 17 tan sebulan," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Penghantaran Pertama Kerepek Ubi Kayu 'Chippi Snacks' ke London di Taman Perindustrian Demak Laut, di sini, semalam.
Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata, untuk menampung permintaan London, negeri ini memerlukan 60 tan ubi kayu mentah setiap bulan, berikutan setiap tan chip memerlukan tiga tan ubi kayu mentah.
Apapun katanya, pada masa ini RMS Furn Corporation Sdn Bhd hanya dapat mengeluarkan sebuah kontena kerepek sebulan dengan nilai RM20,000.
Beliau juga berkata, untuk menambah bekalan ubi kayu, satu perjanjian perladangan kontrak antara masyarakat tani dari tiga zon Kuching iaitu Santubong
Bau dan Sempadi yang membabitkan penggunaan tanahseluas 40 hektar bagi setiap zon.
Katanya, dengan keluasan 121 hektar tanah untuk penanaman ubi kayu di tiga zon terbabit sasaran pengeluaran 71 kontena kerepek sebulan akan dapat direalisasikan.
Sementara itu, Naroden berkata sebanyak tujuh Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) Bumiputera Sarawak akan diwujudkan di tujuh bandar utama di negeri ini, dalam usaha menempatkan pengusaha Bumiputera di sebuah kawasan dan premis kilang yang mematuhi keperluan persijilan dan piawaian, amalan pengeluaran, halal dan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, penempatan semula ini akan meningkatkan lagi daya pengeluaran dan mutu produk usahawan Bumiputera bagi menembusi pasaran yang lebih luas termasuk pasaran luar negara.
Katanya, Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID); Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) sudah mengenal pasti beberapa premis kilang di kawasan perindustrian IKS yang sudah dibina di negeri ini.
Buat permulaan TPPU akan diwujudkan di bandaraya ini, Samarahan dan Mukah dengan menggunapakai premis kilang yang diwujudkan MID dan PPES.
1 comment:
http://haizashop.blogspot.com/
Post a Comment