JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, June 29, 2009

Penduduk 'berperang' bekalan air

BAU 28 Jun - Ibarat jatuh ditimpa tangga.

Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan dengan masalah yang dihadapi kira-kira 1,000 penduduk dari dua buah kampung di daerah ini yang hanya bergantung hidup kepada bekalan air hujan dan anak sungai dari gunung berhampiran.

Masalah penduduk dari kampung Sipit dan Pisa itu kini bertambah buruk setelah air sungai di kampung itu semakin berkurangan berikutan musim kemarau yang tidak diketahui penghujungnya.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan pertambahan penduduk kampung dari tahun ke tahun.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk kampung terpaksa mencatu air untuk mandi, memasak serta membasuh pakaian penduduk kampung berkenaan.

Malah, bekalan air itu juga terpaksa digunakan bagi tanaman penduduk kampung seperti sayur-sayuran, lada hitam dan jagung.

Seorang nenek, Noeh Ube, 73, berkata, setiap hari mereka terpaksa menggunakan air daripada gunung untuk kegunaan harian yang disalurkan menggunakan dengan paip buatan sendiri.

Namun, katanya, apabila tiba musim panas dan kemarau seperti sekarang, air gunung turut kering dan mereka terpaksa pergi ke sungai-sungai kecil yang jauh daripada rumah mereka untuk menimba air.

''Dulu, masa muda memang tiada masalah untuk menimba air dari sungai, tapi sekarang saya sudah tidak larat dan kesihatan juga tidak mengizinkan untuk mengangkat bebanan yang berat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jikim Akun, 55, memberitahu masalah ketiadaan air di kampung tersebut sebenarnya sudah lama tetapi ia semakin teruk sejak empat tahun lalu.

''Di sini sudah banyak rumah dibina, penduduk kampung juga bertambah ramai. Jadi, kami terpaksa bersaing untuk mendapatkan bekalan air yang terlalu terhad," katanya.

Katanya, apabila tiba musim panas seperti sekarang, tanah pertanian mereka juga mengering dan merekah. Tanaman juga menjadi tidak subur.

Jelas Jikim, perayaan Gawai dan Krismas merupakan tempoh mereka 'berperang' untuk mendapatkan bekalan air.

''Sewaktu hari Gawai ataupun Krismas, kami sudah mula mengumpul air hujan dan air gunung beberapa hari sebelum perayaan kerana pada waktu itulah kami memerlukan bekalan air yang banyak," tambahnya.

Bagi Aireen Atom, 27, sejak dia tinggal di kampung itu 20 tahun lalu, masalah bekalan air memang sudah ada namun belum ada pihak yang datangl untuk menghulurkan bantuan mahupun mendengar masalah mereka.

''Sebelum ini, kami ada membuat aduan kepada pihak terbabit, tetapi sehingga sekarang masih belum ada apa-apa tindakan positif diambil.

''Setiap hari kami berada dalam keadaan gelisah lebih-lebih lagi kalau hujan tidak turun selama beberapa hari,'' jelasnya.

utusan

No comments: