JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 18, 2009

Ubah Orang Asli jadi 'Orang Kita'


KUANTAN: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencadangkan penggunaan perkataan 'Orang Asli' diganti dengan 'Orang Kita' bagi merujuk masyarakat peribumi di negara ini.

Baginda bertitah, penukaran istilah itu penting untuk merapatkan jurang antara Orang Asli dan kaum lain di negara ini selain mengangkat martabat mereka.

Titahnya, masyarakat juga perlu berubah sikap dan tidak lagi memandang rendah serta menafikan kehadiran masyarakat Orang Asli di negara ini.

"Mereka sebenarnya tidak suka dipanggil Orang Asli kerana ia seperti merendahkan maruah dan martabat diri dan gelaran itu nampak kasar di mata mereka.

"Saya lebih gemar menggunakan istilah 'Orang Kita' berbanding 'Orang Asli' kerana keunikan masyarakat pribumi ini sentiasa menarik perhatian dan minat saya untuk mendekati dan bermesra dengan mereka," titahnya selepas majlis pelancaran Buku Haknuk dan perasmian Karnival Usahanita di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim .

Buku Haknuk yang bermaksud kasih dalam bahasa Semai adalah karya kreatif 13 pelajar Kelab In-Smartive UMP yang terbabit dalam Projek Semaian Kasih di Kampung Kuala Boh, Cameron Highlands pada 17 hingga 19 Oktober tahun lalu.

Baginda bertitah, aktiviti bersama masyarakat Orang Asli oleh warga UMP perlu dilaksanakan secara berterusan untuk membentuk generasi yang lebih prihatin dan menghargai kewujudan Orang Asli.

Buku berkenaan mengandungi pelbagai maklumat mengenai latar belakang, kegiatan ekonomi dan kebudayaan suku Semai kampung berkenaan.

Setakat ini, Baginda bertitah, terdapat seramai 55,000 penduduk Orang Asli menetap di Pahang dan sebahagian besarnya terdiri dari suku Semai, Jakun, Jahut dan Batik.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Nordin Abu Bakar, 54, bersetuju dengan cadangan penggunaan Orang Kita kerana ia lebih lembut berbanding perkataan Orang Asli.

"Walaupun kami masyarakat pribumi di negara ini dan dikenali sebagai Orang Asli, kami tidak suka digelar begitu kerana ia seperti merendahkan maruah kami.

"Saya berharap cadangan Tunku Puan Pahang ini disenangi ramai dan sekiranya diterima saya amat berterima kasih kepada baginda," katanya.

Pesara guru Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Mohd Jefri Abdullah, 61, juga menyokong cadangan berkenaan kerana ia lebih sesuai di guna pakai dalam arus pembangunan negara hari ini.

"Kita tidak mahu menjadi mangsa krisis identiti kerana sebagai penduduk pribumi di negara ini," katanya.

bharian

No comments: