KEGAGALAN Polis di-Raja Malaysia untuk memastikan anggotanya berintegriti dan berwibawa menyebabkan imej pasukan tersebut turun mendadak berikutan dakwaan terhadap Ketua Polis Negara, Mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ketua Polis Daerah dan sebagainya bagi pelbagai kesalahan termasuk penyalahgunaan kuasa, rasuah dan bersubahat dengan penjenayah.
Bagaimanapun, Mantan Ketua Daerah Sandakan, Hassnar M.P. Ebrahim berharap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akan memulihkan imej buruk polis sebelum bersara terutama melibatkan ketenteraman awam sehingga memaksa beliau mengambil tindakan mendakwa Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Jaini Abdul Kadir dan 49 yang lain kerana telah mendatangkan kerugian dan menyalahguna kuasa polis sehingga memudaratkan perniagaannya.
CABAR..... Hassnar mencabar Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Jaini (kiri) agar tidak menceroboh ladangnya di Latangon Kinabatangan, tetapi tidak diendahkan.
"Saya kesal kerana kesalahan sebuah syarikat Konglomerat, Kwantas Corporation Berhad membuat laporan palsu membuatkan saya terpaksa menyaman Ketua Polis Daerah dan anggota yang tidak bersalah kerana mereka hanya menurut arahan Jaini yang diupah oleh Mafia perladangan ini untuk menjaga kepentingan peribadi mereka, " ujar Hassnar yang memaklumkan beliau telah memfailkan Saman di Mahkamah Tinggi Sandakan pada 30 Januari 2009 lalu.
Tegas Hassnar, beliau terpaksa menyaman polis yang menerima adaun palsu daripada Kwantas Corporation Berhad sehingga polis menyerang ladangnya yang bergeran di Latangon, Kinabatangan dan mendatangkan kerugian yang besar; sebaliknya membebaskan pihak yang membuat laporan palsu tanpa sebarang tindakan.
RAMPAS.... Parang ini telah dirampas daripada pekerja ladang Hassnar tetapi belum dikembalikan sehingga hari ini walaupun tidak ada sebarang caj dikenakan terhadap 16 orang pekerja yang ditahan.
"Saya tidak pernah gentar untuk mengajar atau mengheret anggota PDRM yang telah menyalahguna uniform mereka untuk mengaut keuntungan peribadi dan sekaligus mendatangkan kecederaan fizikal dan mental kepada rakyat terutamanya Anak Negeri Sabah yang terpaksa berhadapan dengan kekejaman polis untuk mempertahankan tanah tumpah darah mereka," ujar Hassnar yang kesal kerana polis yang berselindung di sebalik uniform adalah pengecut apabila disaman di mahkamah.
BEBAS.... Apakah APMM akan membebaskan bot tunda dan tongkang ini jika syarikat berkenaan dapat membeli pengesahan Jabatan Alam Sekitar sebagaimana mereka dapat membeli Sijil Anak Negeri Sabah?
Sehubungan itu, Hassnar berharap agar Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Sandakan yang berjaya membanteras kegiatan jenayah di kawasan perairan Sandakan dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar perairan Sandakan, 'Kilat 24' yang dianggotai oleh 4 orang anggota telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot tunda FORDECO 37.
Bot ini kata Hassnar dimiliki oleh Fordeco Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Kwantas Corporation Berhad yang mengarahkan polis menyerang ladang Hassnar seluas 600 ekar dan merampas semua peralatan dan menahan 16 pekerja yang tidak bersalah tanpa alasan yang munasabah sebaliknya hanya bersekongkol dengan Pengarah Kwantas yang mengupah mereka melakukan penyalahgunaan kuasa untuk menghalalkan jenayah Kwantas lakukan selama ini.
Kata Hassnar lagi, beliau mencabar APPM bukan sahaja menyita Bot Tunda tersebut malah turut menahan pengarah syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Jalan Singgamata Lahad Datu kerana menjalankan operasi kuari batu granit secara haram di Kampung Silam Lamag dan mencuri pasir di sekitar Sungai Segama dan menjual ke seluruh Sabah tanpa rasa gentar kerana dilindungi pihak berkuasa.
"Jika APMM hanya menangkap bot tunda dan tongkang yang memuat pasir berkenaan kepada agensi lain, adalah lebih baik jika APMM dibubarkan sahaja kerana fungsi mereka seakan bertindih tetapi berlagak hero yang hanya membaham kancil dan takut kepada gajah," ujar Hassnar mendesak agar Akta APMM 2004 (Akta 633) dipinda bagi memberikan lebih kuasa termasuk mendakwa pesalah ke mahkamah tanpa menyerahkan tahanan kepada polis atau jabatan lain yang bergelumang dengan rasuah.
Bagaimanapun, Hassnar turut berbangga dengan kejayaan APMM menangkap bot tunda berkenaan yang sedang menunda tongkang, FORDECO 2702 berwarna putih jalur hitam yang membawa muatan pasir sungai di posisi 06 darjah 04.37 minit utara dan 118 darjah 07.32 minit timur yang disyaki membawa pasir sungai tersebut tidak mempunyai kelulusan dari Jabatan Alam Sekitar.
No comments:
Post a Comment