JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, June 28, 2009

Vaksin AIDS dan kanser dihasilkan di sarawak???


MIRI: Sebanyak 60,000 perahan cecair dan getah dari pokok dan tumbuhan di hutan negeri ini dalam kajian Pusat Biodiversiti Universiti Teknologi Curtin (Curtin) Kampus Sarawak dipercayai mampu dijadikan ubat, vaksin dan anti virus pelbagai jenis penyakit termasuk wabak maut seperti AIDS dan kanser.

Pengerusi Majlis Curtin Sarawak George Chan Hong Nam memberitahu, Curtin kini sedang membuat kajian lanjut dua ubat anti virus iaitu Callanoid (anti HIV) dan Silbestrol (anti kanser) yang berpontensi untuk dipasarkan.

Callanoid dihasilkan dari getah pokok Bintangor yang kandungannya dipercayai berkemampuan menentang virus HIV iaitu penyebab penyakit AIDS.

“Sekarang kita buat percubaan perubatan kepada pesakit iaitu kita telah di peringkat akhir penyelidikan. Kita mahu tahu kesan sampingan ubat ini seperti muntah, tekanan darah yang perlu diambil berat sebelum dipasarkan.

“Kini penyelidikan di peringkat akhir. Kajian tentang kesan ubat ini kepada pesakit masih di tahap percubaan. Kita mahu tahu kesan sampingan ubat ini kerana khuatir akan mengakibatkan pesakit muntah, tekanan darah atau kesan lain sebelum dipasarkan,” jelasnya

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam selepas pelancaran laman web rasmi persidangan Majlis Penyelidikan Borneo (BRC) oleh Curtin pagi semalam.

Chan memberitahu, Sibestrol masih di peringkat penyelidikan intensif di mana dua pegawai dari pusat berkenaan telah ke Amerika Syarikat untuk menandatangi perjanjian dengan beberapa universiti untuk kajian lanjut keupayaan ubat berkenaan.

Menurut beliau, Sibestrol dihasilkan dari perahan cecair dari sejenis pokok dari spesies keluarga pokok langsat.

Kerajaan Negeri menerusi Curtin sedang memperluas-kan usahanya mendapat kerjasama penyelidikan dari universiti-universiti luar negara dan syarikat perubatan gergasi untuk menjayakan penyelidikan biodiversiti di sini.

“Kini pusat kita sedang mendapatkan perahan-perahan dari pokok dan tumbuhan dengan pergi ke kampung dan mendapat maklumat dari penduduk yang sebelum ini menggunakan tumbuhan berkenaan untuk perubatan tradisional.

“Kita akan analisa tumbuhan ini dan sekiranya kita tahu ia berpontensi besar sebagai ubat, kita cuba cari orang yang boleh berkerjasama dengan kita dan membangunkan kajian kita,” jelasnya.

Chan memberitahu, kerjasama dari universiti dan syarikat perubatan luar negara yang berpengalaman dalam penyelidikan perubatan amat diperlukan kerana projek tersebut menelan kos besar yang melibatkan kemudahan penyelidikan berteknologi tinggi.

“Malaysia masih baru dalam bidang ini. Kita ada ramai saintis muda tetapi kita masih memerlukan sokongan daripada orang-orang berpengalaman. Kita juga perlukan kemudahan-kemudahan yang mahal dan penyelidikan yang lebih terperinci,” jelasnya.

Menurut Chan, Curtin kini berkerjasama dengan beberapa universiti di Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah serta syarikat perubatan terkemua dalam projek ini.

Bagaimanapun hak intelek setiap kajian akan dipastikan terjamin dan terpelihara agar tidak dirampas sewenangnya oleh pihak berkepentingan.

“Keupayaan kita mencari penawar bergantung kepada usaha dan kegigihan kita sendiri. Tetapi yang penting kita iaitu kita perlu mempunyai hak intelek kerana kita tidak mahu hilang hak kita dengan kerjasama yang kita lakukan dengan orang lain,” ujarnya.

Jabatan Perhutanan dan agensi berkaitan akan bekerjasama dengan Curtin untuk menjaga kawasan kajian dari diceroboh pihak luar.

borneopost

No comments: