JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 25, 2009

Berebut tempat duduk kapal terbang macam naik bas


RAKYAT patut berbangga dengan adanya syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia yang mempunyai slogan 'Sesiapa saja boleh terbang'. Sepanjang AirAsia beroperasi, ramai yang berpuas hati atau sebaliknya.

Untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, AirAsia perlu meningkatkan pengetahuan kakitangan yang ada serta lebih bertimbang rasa mengendalikan penumpang yang ingin menaiki pesawat.

Bagi penumpang pula, jika belum pernah menaiki pesawat sebelum ini, perlu berdisiplin kerana menaiki kapal terbang tidak sama menaiki bas atau teksi walaupun tambang murah.


Saya mempunyai pengalaman ketika menggunakan perkhidmatan AirAsia terutama membabitkan cara pengendalian kakitangan dan tindakan penumpang yang tidak mengikut peraturan.


Ketika penumpang dibenar menaiki pesawat, mereka berebut-rebut dan berlari menaiki pesawat, bertujuan untuk mendapat tempat duduk yang diingini, bagi penumpang yang tidak sihat atau warga emas, sudah pasti mereka akan terpisah dari keluarga ketika duduk di dalam pesawat. Malah ada penumpang yang berkumpulan untuk melancong sudah meletak topi dan barang lain untuk menandakan tempat duduk yang sudah diisi. Saya rasa malu, adakah ini cara menaiki pesawat?

Selepas AirAsia memperkenalkan `boarding express' dengan bayaran tertentu, amat mengecewakan apabila penumpang yang membayar perkhidmatan ini masih berebut untuk mendapat tempat duduk, kerana jarak dibenarkan untuk menaiki pesawat dengan penumpang lain begitu singkat.

Ketika mendaftar masuk untuk dua penumpang ke Hanoi, Vietnam, ketika sampai ke kaunter saya lihat sudah ada sekumpulan pelancong mendaftar masuk. Saya diminta mendaftar masuk hanya dua beg pakaian.

Tanpa diduga, saya dimaklumkan beg pakaian saya melebihi berat dan diminta membayar, saya akur dengan permintaan ini dan perlu membayar hampir RM100.

Setiba di Hanoi, saya hairan mengapa saya perlu membayar berat lebihan, saya meminta kakitangan di sana membantu untuk menimbang kembali dua beg itu, saya diminta untuk ke balai berlepas yang berada tidak jauh dari balai ketibaan, selepas ditimbang dua beg saya hanya 22 kilogram.

Walaupun saya diminta membuat aduan di Malaysia, sukar untuk dibuktikan kerana saya sudah menaiki pesawat dan tiba di Hanoi, ini merugikan saya.

Penumpang juga perlu diberi amaran dan ingatan dan perlu diperiksa, ketika saya menaiki pesawat untuk ke Indonesia, hati saya tidak tenteram, ketika pesawat berlepas kerana masih ada penumpang yang memegang telefon tanpa dimatikan, selepas ditegur baru penumpang berkenaan berbuat demikian.

Penumpang masih tidak mematuhi arahan, sebaik dimaklumkan mendarat sudah ada penumpang menekan butang untuk membuat panggilan sedangkan mereka tidak tahu ia akan mengganggu sistem pesawat dan amat merbahaya kepada semua penumpang dan anak kapal.

Pada kes lain, saya hampir tidak dapat ke Palembang, Indonesia, apabila saya ditahan kakitangan AirAsia ketika masuk ke balai berlepas, apabila diperiksa pasport, didapati saya tidak mengambil visa. Kakitangan itu memaklumkan untuk ke Palembang perlu mengambil visa, jika saya tidak ada visa, saya tidak dibenarkan menaiki pesawat.

Selepas campur tangan pegawai imigresen baru saya dibenarkan masuk untuk urusan pemeriksaan pasport.

Saya juga pernah berhadapan situasi penumpang pesawat AirAsia yang tidak berdisiplin, selepas mereka melalui proses daftar masuk pada masa sama bersama sama saya, penumpang berkenaan keluar entah ke mana.

Ketika di balai berlepas dan penumpang sudah dibenar menaiki pesawat, saya nampak kakitangan AirAsia begitu gelisah. Mereka sudah menjalankan tanggungjawab dengan memanggil nama penumpang berkenaan, tetapi masih tidak muncul.

Selepas pintu ditutup, barulah saya lihat penumpang ini berlari-lari dan memohon simpati untuk dibenarkan menaiki pesawat

Saya berharap semua penumpang AirAsia berdisiplin ketika menaiki pesawat, manakala kakitangan AirAsia tingkat pengetahuan, bertimbang rasa dan lebih tumpuan ketika dalam pesawat.

ROSNAH ABD RAHIM, Kuala Lumpur.

surat pembaca bharian

No comments: