JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 4, 2009

Jangan Berdebat Isu Panas


Semua pelajar Malaysia di Indonesia dinasihatkan agar tidak berdebat mahupun berbincang mengenai beberapa isu panas yang sedang dimainkan oleh media massa Indonesia sekarang, termasuk tuntutan bertindih ke atas Ambalat di perairan Sulawesi dan isu Cik Puan Manohara Odelia Pinot.

Menteri Penasihat Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Dr Junaidi Abu Bakar berkata beliau mengeluarkan peringatan itu kepada semua pemimpin pelajar di 13 kampus di mana terdapat pelajar Malaysia, bagi mengelak terjadinya perdebatan yang tidak terkawal sehingga mencetuskan kejadian yang tidak diingini.

"Pesan saya kepada semua pelajar dan pimpinan Persatuan Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) seboleh-bolehnya kita janganlah berdebat dengan mana-mana pihak dari Indonesia. Biarlah pihak berkuasa menangani pemasalahan ini termasuk isu Ambalat dan juga Manohara," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata di samping itu, pelajar Malaysia juga dinasihatkan lebih berhati-hati semasa menghadiri kuliah, pulang kuliah dan juga ketika berada di khalayak ramai serta memberitahu teman-teman lain sekiranya ingin pergi ke sesuatu tempat.

"Jika ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku, harap dimaklumkan segera kepada saya atau Kedutaan Besar Malaysia atau pihak berkuasa tempatan," katanya yang menambah bahawa semua pelajar sudah mempunyai nombor hubungan dengan beliau mahupun para pegawai kedutaan.

Mengenai laporan media massa bahawa ada pihak tertentu akan mengusir pelajar-pelajar Malaysia dari kampus mereka, beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi Indonesia telah memberi jaminan kepadanya bahawa hal itu tidak akan berlaku.

"Saya telah berhubung dengan pihak Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi di sini dan diberitahu bahawa setakat ini tidak ada apa-apa arahan dikeluarkan ke arah itu berkaitan perkembangan terbaru isu-isu dua hala Malaysia-Indonesia," kata Junaidi.

Satu laporan dari Medan hari ini menyebut sebuah pertubuhan tempatan, Pertubuhan Masyarakat Pancasila Indonesia (MPI) memberi jaminan akan melindungi mahasiswa Malaysia yang belajar di pelbagai universiti di Indonesia sama ada daripada diusir mahupun diganggu keselamatan mereka.

Junaidi yang juga Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia berkata MSD sentiasa memantau perkembangan mahasiswa yang berada di semua universiti di sini.

Beliau meminta ibu bapa di Malaysia yang memerlukan maklumat lanjut supaya menghubunginya melalui SMS ke telefon bimbitnya bernombor +6281808811111 atau email ke alamat drjunaidy_ab@yahoo.com.sg.

Katanya sehingga kini belum ada sebarang aduan diterima daripada mana-mana pelajar Malaysia di sini mengenai sebarang ancaman ke atas mereka.

-- BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

ini isu peribadi suami isteri. hubungan baik ke dua2 negara harus dijaga