JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 4, 2009

Tragedi malam Gawai

Dalam kehangatan suasana sambutan menjelang Hari Gawai Dayak pada malam 31 Mei, sebuah keluarga dan penduduk di Kampung Hulu di sini gempar dengan kematian seorang abang di tangan adiknya sendiri.

Bermula dengan pertelingkahan kecil di antara dua adik-beradik yang berlaku kira-kira jam 9 malam, kejadian itu berakhir dengan kematian Iswandi Bulian, 31, seorang kakitangan Jabatan Tanah dan Survei yang kini bertugas di Mukah.

Mangsa dipercayai ditikam di bahagian dada oleh adiknya, Mohamad Safuan dengan sebilah gunting, sekali gus menyebabkannya mengalami kecederaan parah.

Iswandi yang bergelumang dengan darah, menemui ajal di tempat kejadian.

Ahli keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa dengan membawanya ke Klinik Kesihatan di sini, namun usaha mereka gagal.

Safuan yang menyedari abangnya cedera parah dan tersungkur lemah, kemudian menyerah diri di balai polis di sini.

Isteri Iswandi, Sarimah Mohamad Nor (Haji Donoi) bersama anak-anaknya yang berada di rumah mertua mangsa tidak jauh dari tempat kejadian, langsung tidak menduga kepulangan mereka ke kampung halaman sempena cuti sambutan Hari Gawai Dayak tertulis suratan takdir yang cukup menyayat hati.

Hasil perkongsian hidup Iswandi dan Sarimah, mereka dikurniakan tiga orang anak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara satu dan sembilan tahun.

Ayah mangsa, Bulian Jaya ketika ditemui berkata, pada mulanya Safuan (suspek) bertindak agresif dengan membuat kecoh di rumah selepas dipercayai mabuk.

Melihatkan keadaan itu, katanya, beliau dan mangsa cuba mententeramkan suspek.

“Oleh kerana Safuan makin agresif, saya mengarahkan Iswandi meninggalkan rumah agar keadaan tidak menjadi semakin tegang,” ujar Bulian.

“Bagaimanapun, sewaktu mangsa dalam perjalanan meninggalkan rumah, Safuan bertindak mengekori mangsa, sekali gus menyebabkan mereka bergelut. Ketika itulah gunting yang dibawa Safuan tertikam di dada mangsa.”

Menyedari keadaan itu, Bulian berkata, beliau bergegas membawa mangsa yang parah ke klinik di sini menaiki van miliknya untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dalam kejadian yang menggemparkan penduduk kampung sehingga menyaksikan setiap ruang di kawasan klinik dipenuhi orang ramai pada kira-kira jam 10 malam.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Saratok pada kira-kira jam 11.50 malam menaiki kenderaan polis.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Kabong, Sarjan Awang Sebeli Awang Mostapha mengesahkan kejadian tersebut, dan kelmarin, Safuan diperintah untuk menjalani tahanan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Pada kira-kira jam 9 pagi semalam, mayat Iswandi dibawa ke Kuching untuk bedah siasat.

No comments: