JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, June 12, 2009

BANGUNAN RM 360 JUTA BOCOR - JPN SPRM TERJEJAS




Belum pun siap kerja-kerja membaiki kerosakan dinding Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di Likas, dekat sini, bangunan bernilai RM360 juta itu hari ini sekali lagi dilanda masalah baru.

Masalah baru itu adalah kebocoran paip air yang dikesan pada pukul 6.30 pagi di blok A, tingkat tujuh, melibatkan Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

Kebocoran salah satu paip utama yang berkedudukan di atas siling unit itu menyebabkan beberapa keping siling runtuh dan peralatan pejabat seperti komputer, fail dan mesin faks rosak.

Tinjauan Utusan Malaysia ke unit tersebut mendapati, semua lif di blok tersebut masih dihujani air dan lantai serta karpet digenangi air termasuk beberapa pejabat lain di tingkat bawah.

Keadaan tersebut menimbulkan ketidakselesaan kepada penjawat awam yang mana blok itu turut menempatkan Ibu Pejabat SPRM, Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan beberapa agensi kerajaan lain.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Ismail Wadin berkata, kerja-kerja membaiki kerosakan paip dan bangunan sedang giat dilakukan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

Kerosakan tersebut, katanya, tidak menjejaskan pentadbiran pejabat-pejabat Persekutuan dan pihaknya masih menyiasat keseluruhan jumlah kerugian.

"Masalah ini kecil sahaja dan tidak sehingga melumpuhkan pentadbiran di sini. Tidak semua bangunan di blok A dimasuki air," katanya ketika ditemui di sini.

Kompleks itu yang terletak di Jalan Universiti turut dikenali sebagai mini Putrajaya dan beroperasi sepenuhnya pada awal 2006 melalui tiga buah bangunan utama iaitu blok A,B dan C.

Bagaimanapun tidak sampai setahun beroperasi, tiga blok itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian dinding dan sehingga kini, blok B dan C sudah siap dibaiki manakala blok A masih dalam pembikinan.

Sementara itu, Ketua Unit Siasatan SPRM negeri, Cheng Soon Heng berkata, unit tersebut mengalami kerosakan paling teruk berbanding pejabat kerajaan yang lain.

"Unit ini menempatkan tujuh bilik dengan 10 kakitangan dan dianggarkan kerugian melebihi RM10,000. Barangan yang rosak adalah peralatan pejabat dan beberapa barangan SPRM," katanya.

Seorang lagi kakitangan di unit tersebut, Yusof Matusin berkata, dia terkejut apabila datang ke pejabat awal pagi tadi dan mendapati seluruh pejabat dilanda 'banjir'.

"Saya percaya kebocoran ini sudah berlaku sejak malam tadi tetapi tidak disedari, kita masih lagi menjalankan kerja-kerja memunggah barang yang selamat ke tempat lain," katanya.

UTUSAN

No comments: