JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, June 14, 2009

Bangunan sekolah usang

Keselamatan 503 murid dan 35 guru serta kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kemabong, di sini terancam berikutan terpaksa menggunakan bangunan sekolah berusia 39 tahun yang sudah terlalu uzur.

Selain struktur siling dan lantai yang sudah reput, kebanyakan struktur lain seperti tiang dan papan bangunan juga memerlukan tindakan segera Kementerian Pelajaran.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Andayol Ampuli, 59, berkata ibu bapa bimbang keselamatan anak mereka terancam akibat menggunakan bangunan sekolah yang mengalami kerosakan di kebanyakan bahagian, terutama siling dan lantai.

Kami sudah merayu kepada Kementerian Pelajaran supaya membina sekolah baru menggantikan sekolah yang sudah berusia 39 tahun ini. Kami bimbang anak kami mungkin cedera terkena runtuhan siling.

"Yang paling kami bimbang ialah keseluruhan enam blok bilik darjah, satu blok pentadbiran dan satu blok kantin yang menunggu waktu untuk menyembah bumi," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Beliau mendakwa, pihak pentadbir sekolah dan PIBG sudah mengemukakan rayuan supaya Kementerian Pelajaran membina bangunan baru bagi menjamin keselamatan murid sejak 2000.

Andayol mendakwa, Kementerian Pelajaran sudah meluluskan pembinaan bangunan baru sekolah itu bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan Kemabong sedia ada melalui surat yang diterima daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan kementerian itu pada 2001.

Katanya, melalui surat itu, pembinaan bangunan baru itu dicadangkan melalui peruntukan kementerian berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-8.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada tindakan susulan daripada kementerian itu, menyebabkan ibu bapa semakin bimbang keselamatan anak masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pembangunan PIBG sekolah itu, Manuel Siah berkata, selain struktur bangunan yang tidak terjamin, murid dan guru juga terpaksa menghadapi banjir yang kerap melanda berikutan lokasi sekolah berhampiran sungai.

Beliau berkata, walaupun sekolah itu dikategorikan Jabatan Pelajaran Sabah sebagai Gred A, ia tidak mampu menyediakan persekitaran pembelajaran sempurna untuk murid, sekali gus menghalang murid mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sehubungan itu, beliau merayu Kementerian Pelajaran mengambil tindakan segera membina bangunan baru bagi memastikan keselamatan dan kualiti pembelajaran murid.

bharian

No comments: