JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 11, 2009

Denggi: Kementerian Kesihatan Mengaku Tewas, Doktor disalahkan


Selepas mengisytiharkan 'perang' ke atas demam denggi pada awal tahun, Kementerian Kesihatan hari ini mengakui berada di ambang kekalahan, iaitu gagal memerangi wabak itu.

Antara punca yang menyebabkan 'kekalahan' itu adalah kegagalan doktor di klinik kerajaan dan swasta untuk mengesan kes demam denggi atau tidak melaporkan kes berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, Selangor merupakan negeri yang tidak menunjukkan kesan positif selepas 'perang' diisytiharkan manakala negeri lain hanya menunjukkan sedikit perubahan.

"Jumlah terkumpul kes demam denggi tahun ini adalah sebanyak 22,426 kes berbanding 17,962 kes pada tempoh sama pada 2008.

"Kes kematian adalah 57 kes berbanding 35 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai di kalangan doktor di klinik swasta enggan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan.

"Klinik-klinik ini sepatutnya melaporkan 85 peratus kes demam denggi, tetapi hakikatnya mereka hanya melaporkan sembilan peratus kes.

"Ini menyebabkan kita tidak dapat menyekat penularan penyakit dengan cepat," katanya.

Beliau berkata, semua pesakit perlu mengingatkan doktor mereka supaya melaporkan kes jangkitan denggi kepada pejabat kesihatan kerajaan.

''Pesakit yang disyaki mengalami demam denggi perlu mengingatkan doktor di klinik supaya sesuatu kes itu dilaporkan dengan segera.

"Doktor-doktor yang didapati gagal membuat laporan akan dikenakan kompaun oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Mohd. Ismail berkata, terdapat sesetengah doktor yang gagal mengenal pasti demam denggi dengan cekap sehingga membahayakan nyawa pesakit.

"Saya memang tidak berpuas hati kerana 66 peratus kes kematian sebenarnya boleh diselamatkan kerana pesakitnya telah mendapatkan rawatan awal di klinik.

"Ada pesakit yang datang ke hospital apabila tenat walaupun mereka telah menerima rawatan awal tetapi mungkin doktor tidak dapat mengesan demam denggi dengan cekap," katanya.

Tambahnya, untuk mengurangkan kematian akibat denggi, Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan kewujudan wad khas untuk semua pesakit demam denggi.

Utusan

No comments: