JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, June 16, 2009

HIV/AIDS di Sarawak Membimbangkan


KUCHING: Isu HIV/AIDS bukan suatu yang baru di negeri ini dan menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) empat rakyat Sarawak dijangkiti virus HIV pada 1989 dan ia merupakan titik mula penyakit itu menjadi pandemik.

Empat tahun kemudian (1993), tiga kes AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) melibatkan rakyat negeri ini dirujuk kepada JKN dan jumlahnya terus menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun begitu juga dengan pesakit dijangkiti virus maut, HIV.

Namun yang menyedihkan, masyarakat bagaikan tidak belajar daripada kesilapan sebaliknya penyakit itu terus menular dan jelas menunjukkan peningkatan.

Sejak 1989 hingga April tahun ini, seramai 977 rakyat Sarawak dijangkiti HIV dengan lelaki mencatatkan jumlah teramai iaitu 732 orang selebihnya wanita dan 519 menghidap AIDS (396 lelaki dan 123 wanita) bagi tempoh sama.

Dalam tempoh sama juga seramai 204 kematian disebabkan AIDS dilaporkan di negeri ini dengan pesakit lelaki tetap penyumbang utama kepada jumlah tersebut.

“Mereka ini pula berusia antara 20 hingga 49 tahun yakni kumpulan aktif seks dan produktif maka tidak hairanlah penyebab utama rakyat negeri dijangkiti HIV/AIDS ialah hubungan heteroseksual, homoseksual dan biseksual,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Kamil Hassan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Dato Sri Wong Soon Koh, tahun lepas (2008) 27 peratus kes HIV/AIDS baru dilaporkan berpunca daripada hubungan heteroseksual berbanding 20 peratus sahaja pada 2004.

“Jika tiada tindakan sewajarnya diambil untuk membanteras ancaman wabak ini, kira-kira 190,000 rakyat Malaysia diramal menghidap HIV/AIDS,” kata Wong.

Lebih menyedihkan kini ramai suri rumah menghidap AIDS dan berdasarkan rekod JKN sejak 20 tahun lalu, 54 orang suri rumah di negeri ini menderita AIDS dengan 15 daripada mereka telah meninggal dunia.

Keadaan itu sebenarnya memberi`isyarat maut’ kepada berjuta-juta wanita, kebanyakan mereka dijangkiti melalui suami atau pasangan masing-masing.

Kenyataan ini disokong statistik kebangsaan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan iaitu sejak 1994 kes jangkitan HIV membabitkan wanita mencatat peningkatan kepada 104 berbanding 66 kes pada tahun sebelumnya, manakala kes AIDS tertinggi dicatatkan pada 2006 membabitkan 222 kes.

Pada 2007, 745 kes baru HIV dicatatkan di kalangan wanita, manakala 131 kematian direkodkan untuk tahun sama.

Mungkin ada yang mengaitkan peningkatan itu disebabkan ‘perkhidmatan’ pekerja seks.

Namun, perangkaan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 1986 hingga 2007 menunjukkan hanya 482 kes membabitkan golongan itu.

Sebaliknya, kes jangkitan HIV paling ramai dikesan membabitkan suri rumah sepenuh masa atau 2,438 kes, manakala kes AIDS untuk suri rumah pula sebanyak 497 kes.

Setakat akhir Disember 2008, sejumlah 704 kes baru HIV dikesan di kalangan wanita, manakala 114 kematian wanita disebabkan AIDS dicatatkan untuk tahun sama.

Ini menunjukkan perubahan trend jangkitan penyakit berkenaan di negara ini secara amnya.

Kalau dulu ia dikaitkan dengan penagihan dadah tetapi kini faktor hubungan seksual antara suami isteri serta golongan homoseksual juga menjadi punca meningkatnya kes HIV/AIDS.

Bagi rantau Asia, penggunaan jarum suntikan masih menjadi faktor utama, misalnya di China, India, Pakistan dan Vietnam.

Apa yang pasti, faktor hubungan heteroseksual dan homoseksual semakin meningkat, khususnya di India, Indonesia, Pakistan dan Afghanistan.

Kajian di Bangkok, Thailand dan Ho Chi Minh di Vietnam turut menunjukkan peningkatan kes HIV/AIDS berkait rapat dengan hubungan golongan homoseks.

Dipercayai ramai suri rumah atau wanita mendapat AIDS mahupun HIV daripada pasangan mereka manakala kanak-kanak mendapat jangkitan daripada ibu kepada anak (MTCT).

Bagi statistik negara pula, sejak sekitar 1980-an sehingga September 2003 secara keseluruhannya 3,611 wanita telah dijangkiti HIV berbanding lelaki 53,066 orang.

Mengikut kajian, dari segi biologi wanita dikatakan dua kali lebih mudah untuk dijangkiti berbanding lelaki.

Pemindahan penyakit tersebut dari lelaki kepada wanita juga lebih mudah berlaku berbanding daripada wanita kepada lelaki.

Di Sarawak juga terdapat kanak-kanak berusia kurang daripada 13 tahun dijangkiti virus HIV iaitu 43 orang bagi tempoh 20 tahun (1989-April 2009) manakala yang menghidap AIDS seramai 28 dengan 12 kematian setakat ini.

Mungkin ramai yang masih tidak mengetahui dengan lebih mendalam apa itu AIDS.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan, seseorang individu mendapat AIDS apabila virus HIV (Human Immunodeficiency Virus) telah merosakkan sistem pertahanan tubuh.

Apabila sistem pertahanan badan tidak berfungsi, bakteria dan virus-virus lain boleh menjangkiti tubuh, menjadikan individu tersebut sakit teruk.

Seseorang itu boleh dijangkiti HIV jika mereka terdedah atau tersentuh dengan bendalir badan individu yang HIV positif seperti darah, cecair faraj, air mani dan susu ibu.

Bendalir ini pula boleh meresap ke tubuh seseorang apabila mengadakan hubungan seks, berkongsi jarum atau alat suntikan dengan individu positif HIV, terdedah kepada darah orang positif HIV.

Bagi ibu hamil yang HIV positif ia akan merebakkan virus itu kepada kandungannya semasa hamil, semasa kelahiran dan semasa penyusuan susu ibu.

Lebih menyukarkan, tanda-tanda jangkitan HIV dan AIDS mungkin tidak timbul untuk beberapa tahun dan seseorang itu mungkin tidak mengetahui yang dia telah mendapat penyakit berkenaan.

Bagaimanapun ‘dia’ masih boleh meyebarkan virus HIV kepada orang lain pada peringkat ini.

Difahamkan biasanya orang dewasa yang hidup dengan HIV, tempoh ia akan menghidap AIDS mengambil masa antara lapan dan 10 tahun. Ada juga yang boleh bertahan sehingga 15 tahun tetapi untuk kanak-kanak, tempohnya lebih pantas.

Setakat ini masih belum ada vaksin yang boleh merawat sepenuhnya tetapi kombinasi ubatan anti virus dan ubatan yang meningkatkan pertahanan tubuh badan digunakan untuk mengawal jangkitan, bagi terus hidup sihat dan memanjangkan usia penghidap HIV.

Apa pun hakikatnya penyakit HIV/AIDS tidak hanya melibatkan masalah kesihatan tetapi isu sosial yang menyelubungi masyarakat kita yang ternyata memerlukan kesedaran tinggi untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Bukan tiadanya kempen kesedaran dilaksanakan kementerian atau jabatan kesihatan serta agensi-agensi kerajaan lain dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi jumlah pesakit tetap bertambah.

Kakitangan JKN serta NGO dilatih agar membolehkan mereka memberi kaunseling dan taklimat kepada masyarakat di negeri ini mengenai HIV/AIDS.

Pada masa sama JKN terus melakukan ujian saringan HIV lebih-lebih lagi ke atas pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Kamil Hassan ketika ini 19 klinik di negeri ini terlibat dalam melakukan ujian saringan HIV/AIDS.

Bukan itu sahaja jabatannya kini sedang giat melatih sekurang-kurangnya 10 orang wakil masyarakat pedalaman serta sempadan terutamanya mengenai penyakit berkenaan dan cara pencegahannya.

Ini sejajar dengan penekanan Kerajaan yang mahu setiap orang memahami bagaimana HIV/AIDS berjangkit kerana ia tidak merebak melalui sentuhan atau duduk berdekatan dengan pesakit.

Bagaimanapun dalam soal HIV dan AIDS, apa jua program yang perlu diadakan, ia mesti seiring dengan cetusan kesedaran dan perubahan tingkah laku.

Ramai juga berpendapat jalan terbaik mengekang penularan HIV/AIDS ialah dengan kembali kepada ajaran agama masing-masing.

Namun, jika ia terlalu berat untuk dilakukan, mengamalkan seks selamat adalah cara terbaik.

Dengan cara ini peningkatan kes HIV/AIDS di kalangan wanita dan kanak-kanak, yang tidak berdosa setidak-tidaknya dapat dikurangkan.

boneopost

No comments: