JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, June 16, 2009

SEDC kian uzur



MIRI: Keadaan bangunan milik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang semakin uzur semakin membimbangkan peniaga-peniaga bumiputera yang menggesa agar kerja-kerja pembaikan segera dilaksanakan.

Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS) Abdul Hadie Arbi berkata, bangunan berkenaan adalah dalam keadaan tidak terurus kerana mempunyai pelbagai jenis kerosakan yang telah lama tidak diperbaiki.

“Saya cuma khuatir bangunan tersebut akan runtuh secara tiba-tiba,” katanya kepada pemberita Utusan Borneo petang semalam.

Bangunan dua tingkat yang terletak di Jalan Oleander berhampiran tamu lama itu menempatkan 18 kedai terdiri dari restoran, kedai pakaian, kedai jahitan, kedai gunting/salun rambut dan pusat kecantikan diusahakan peniaga bumiputera di sini yang juga ahli PBMS.

Sejak dibuka pada tahun 1986, Hadie memberitahu kerja-kerja penyelenggaran bangunan kurang dilakukan untuk menjaga keadaan bangunan itu.

Menurut Hadie, selain uzur, antara kerosakan lain yang dialami oleh peniaga ialah tandas yang tersumbat, masalah parit dan paip.

Sehubungan itu beliau menyeru pegawai-pegawai SEDC untuk mengunjungi bangunan berkenaan dan meninjau permasalahan yang dialami oleh peniaga.

“Mereka (SEDC) akan dipersalahkan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk kelak. Oleh itu mereka perlu segera memperbaiki kerosakan-kerosakan bangunan itu,” jelasnya.

Beliau berkata, aduan tentang keadaan bangunan berkenaan telah diutarakan kepada Ketua Menteri dalam mesyuarat khas pada tahun 2002.

Hasil dari perbincangan itu, kerajaan bercadang untuk membina bangunan baru di Taman Marina menggantikan bangunan berkenaan.

“Projek ini masih dalam cadangan kerana projek-projek pembangunan di taman berkenaan masih diperbincangkan. Tetapi yang penting sekarang ialah pihak SEDC perlu segera memperbaiki keadaan bangunan ini dari terus rosak,” jelasnya.

Menurut Hadie, walaupun usang, kedai dan restoran di bangunan itu telah dikunjungi kerana lokasinya yang strategik di kawasan pasar lama Miri.

borneopost

No comments: