
KOTA KINABALU: Persatuan Pengusaha dan Pemandu Pengangkutan Awam Kota Kinabalu (Peka) mendakwa sebahagian pengusaha dan pemandu bas mini serta bas berhenti-henti yang memasuki bandar raya ini tidak dibenarkan berhenti di terminal Wawasan Plaza.
Pengerusinya, Yunus Muhiddin, berkata lebih 100 bas dari arah utara, selatan dan timur bandar raya dilarang memasuki terminal Wawasan Plaza dengan alasan tidak mempunyai permit yang sah untuk beroperasi sehingga ke terminal berkenaan.
Katanya, larangan itu merumitkan pengusaha terbabit kerana berdepan tindakan saman daripada agensi penguatkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) jika didapati berhenti untuk menurun atau mengambil penumpang di perhentian bas sekitar pusat bandar raya.
"Pengusaha sekarang serba salah kerana tidak ada tempat untuk berhenti di pusat bandar raya apabila Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mewajibkan semua bas berhenti di terminal Wawasan Plaza sejak 1 Jun lalu.
"Apabila masuk ke terminal berkenaan, pemandu bas yang memang dari dulu beroperasi di situ melarang mereka berhenti. LPKP perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, LPKP perlu mengatasi masalah itu segera termasuk meminta agensi berkenaan meluluskan permit tambahan laluan kepada pengusaha bas terbabit supaya boleh berhenti di terminal Wawasan Plaza.
Katanya, ada pengusaha bas mini dan bas berhenti-henti yang beroperasi sehingga ke pusat bandar raya tidak mempunyai permit memasuki bandar raya tetapi berbuat demikian dengan menulis destinasi `Kota Kinabalu' di badan bas.
"Dalam permit, laluan mereka tidak sampai di pusat bandar raya, jadi mereka memohon kepada LPKP supaya laluan itu dipanjangkan sehingga ke terminal Wawasan Plaza supaya dapat berhenti di situ.
"Jika tidak, pengusaha terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat mengambil penumpang. Sekarang ini, hanya bas yang ada permit sehingga ke pusat bandar raya dibenarkan berhenti di terminal Wawasan Plaza," katanya.
Yunus berkata, LPKP perlu mempertimbangkan perkara itu kerana ramai pengusaha dan pemandu bas yang akan kehilangan sumber pendapatan jika terus dilarang memasuki terminal Wawasan Plaza.
bharian
No comments:
Post a Comment