
TENOM: Kami tidak akan berganjak dari tanah tumpah darah yang kami warisi dari nenek moyang sejak turun-temurun, begitulah pendirian yang disuarakan oleh penduduk Kg. Abingkoi salah satu perkampungan terpencil di kawasan Kemabong yang terletak dalam kawasan hutan simpan.
Walaupun pun penduduk di kampung ini menyedari bahawa kehidupan mereka masih jauh ketinggalan dari arus pembangunan kerana tidak dapat menerokai tanah secara komersial kerana dasar hutan simpan namun mereka tetap dengan pendirian mereka tidak akan meninggalkan kawasan yang mereka anggap sudah menjadi hak asasi sejak dari nenek moyang lagi.
Kampung Abingkoi adalah di bawah pentadbiran Kg. Korolok yang juga terletak dalam kawasan hutan simpan yang dipimpin oleh Ketua Kam-pung (KK) Parait Sasou 48 yang mewarisi ja-watan Ketua Kampung dari bapanya.
“Kami sukar meninggal kampung yang telah kami warisi dari nenek moyang kerana di sinilah kami dibesarkan dan kehidupan kami dalam keadaan aman dan damai walaupun masih ke-tinggalan dari arus pembangunan seperti yang dinikmati oleh penduduk kampung yang berhampiran dengan bandar,” jelas KK Parait.
Menurut KK Parait, kehidupan mereka sudah serasi di kawasan itu kerana mudah mendapat keperluan harian apabila memburu di kawasan hutan yang berhampiran dan begitu juga apabila mencari ikan di sungai yang berhampiran.
“Kalau ada rezeki, kami juga boleh menjual lebihan keperluan kami di Pekan Tenom pada hujung minggu,” kata KK Parait.
Justeru itu, kami berat hati untuk meninggalkan kampung kami walaupun kami sering diingatkan oleh Jabatan Perhutaan agar meninggalkan perkampungan kami dengan menggunakan kuasa Enakmen Perhutanan.
KK Parait memberitahu, semangat mereka semakin kuat mempertahankan perkampungan mereka apabila Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Jabatan Pelajaran Sabah meluluskan penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Korolok yang sebelum ini menjadi cawangan kepada SK Enubai.
“Kalau sudah ada sekolah, buat apa lagi kami tinggalkan kampung kami kerana anak-anak kami boleh mendapat pendidikan awal di sini,” ujar KK Parait.
Selain Kampung Abingkoi, lima kampung kecil lagi di bawah jagaan KK Parait iaitu Kg. Ahuron, Kg. Pangulobon, Kampung Sungi dan Kampung Kandis.
Kampung Korolok dan kampung-kampung sekitarnya yang mempunyai lebih 300 penduduk boleh dikunjungi melalui jalan balak dengan kenderaan pacuan empat roda lebih kurang dua jam dari Pekan Tenom dan kalau menggunakan helikaptor dari Pekan Tenom ia hanya memakan masa kira-kira lapan minit sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Korolok Nichlos Apoh 39, turut dengan pendirian akan mempertahankan Kampung Korolok dan kampung-kampung kecil di sekitarnya supaya dikeluarkan dari kawasan hutan simpan dan diwartakan sebagai tanah kerajaan.
“Kami merayu kepada Kerajaan Negeri supaya memberikan sedikit kawasan untuk membolehkan kami bercucuk tanam bagi mening-katkan ekonomi keluarga. Kami bukan minta semua kawasan hutan simpan, kami cuma minta sedikit saja ba,” kata Nichlos.
Nichlos menambah, mereka tidak sanggup diusir dari tanah tumpah darah mereka yang su-dah menjadi hak asasi sejak dari nenek moyang lagi.
Bagi Rainus Sagulau 42, yang menjadi pemimpin masyarakat Kg. Abingkoi pula berkata, mempunyai alasan yang kukuh untuk memprtahankan perkampungan kerana menurut rekod yang ada padanya, neneknya sudah mendiami kawasan itu sejak tahun 1928 lagi.
“Apapun alasan Jabatan Perhutanan, kami tetap mempertahankan hak asasi kami yang diwarisi dari nenek moyang berdasar kepada bukti-bukti peninggalan yang ada seperti kuburan dan bekas penempatan nenek moyang yang boleh disaksikan sehingga kini,” tegas Rainus.
Rainus berkata, mereka bukan menentang dasar kerajaan tetapi meminta kerajaan mempertimbangkan dan mendengar rintihan hati rakyat.
Seorang lagi penduduk Kg. Abingkoi Sagulau Mangga 64, merayu kepada kerajaan negeri agar membenarkan mereka terus mendiami kawasan perkampungan mereka.
Katanya, kalau pun Jabatan Perhutanan mempunyai dasar mempertahankan kawasan hutan simpan tetapi berilah kami sedikit kawasan daripada beribu-ribu hektar kawasan hutan simpan untuk kami bercucuk tanam.
“Kerajaan berhasrat membasmikan penduduk miskin tegar tetapi kalau kami tidak diberi tanah untuk bercucuk tanam bagaimana kami boleh terkeluar dari miskin tegar,” kata Sagulau.
Justeru katanya, kerajaan perlu mengeluarkan sedikit kawasan dalam hutan simpan dan di-wartakan sebagai tanah kerajaan bagi membolehkan penduduk memiliki tanah yang boleh diusahakan secara komersial.
Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi yang melawat Kg. Abingkoi baru-baru ini turut meminta kepada kerajaan negeri agar mempertimbangkan dan mengeluarkan Kg. Abingkoi dan kampung-kampung lain di kawasan ini dalam kawasan hutan simpan dan wartakan sebagai tanah kerajaan.
Sementara itu Pegawai Daerah Tenom Haji Faimin Kamin berkata, pihaknya hanya berperanan menyampaikan rintihan penduduk tetapi yang membuat keputusan ada kerajaan negeri.
“Sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan kita hanya merekodkan apa yang disuarakan oleh penduduk tetapi keputusan hanya dapat dibuat oleh kerajaan,” katanya.
Dalam masa yang sama Pegawai Daerah itu berkata, kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk di kawasan hutan simpan.
“Ini terbukti dengan pengwujudan sekolah dalam kawasan hutan simpan seperti di Kg. Korolok,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, penduduk yang mendiami kawasan hutan simpan perlu akur dengan keputusan kerajaan jika perancangan untuk memindahkan mereka ke kawasan penempatan yang dibangunkan oleh kerajaan.
Selain Kg. Korolok dan kampung-kampung kecil di sekitarnya terdapat banyak lagi kampung di kawasan Pedalaman Sabah termasuk dalam kawasan hutan simpan.
Sabahtimes
No comments:
Post a Comment