JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 11, 2009

Dewan Perundangan Tertua di Malaysia


KOMPLEKS Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru ini bakal digunakan pada penghujung tahun ini.

SIBU 10 Jun - Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang terletak di Petra Jaya, Kuching akan menjadi kenangan selepas 33 tahun berfungsi sebagai tempat persidangan oleh wakil-wakil rakyat di negeri ini.

Persidangan DUN Sarawak yang bermula pada 11 hingga 20 Mei yang lalu merupakan pertemuan kali terakhir bagi 71 Ahli DUN (ADUN) bersidang membincangkan hal-hal pembangunan negeri.

Di sebalik kenangan-kenangan manis, para ADUN juga sudah pasti tersenyum bangga apabila Kompleks DUN Sarawak yang baru dan terletak tidak jauh dari bangunan yang lama, bakal digunakan pada persidangan hujung tahun ini.

Kini kerja-kerja pembinaan bangunan berharga RM300 juta itu yang tersergam indah di tebing Sungai Sarawak difahamkan telah siap pada hujung Mei lepas.

Baru-baru ini, Setiausaha DUN Sarawak Abang Othman Abang Fata berkata, persidangan DUN yang lepas merupakan kali terakhir diadakan di bangunan sekarang.

''Ya kali ini (persidangan DUN Sarawak pada Mei lepas) merupakan yang terakhir diadakan di kompleks digunakan sekarang," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan baru itu dilakukan dengan penuh teliti bagi menjamin kualitinya.

''Ini adalah bangunan tempat menggubal undang-undang dan membincangkan pembangunan untuk rakyat. Ia tidak hanya digunakan untuk beberapa bulan tetapi bertahun-tahun. Justeru, kualitinya mesti diberi keutamaan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dibina atas tapak keluasan 172 ekar, Kompleks DUN Sarawak baru itu terletak berhampiran dengan Astana, tempat kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Tersergam indah di atas bukit yang menggabungkan reka bentuk moden dan kebudayaan tempatan, ia mampu menampung kehadiran seramai 108 ADUN.

Tambah istimewa, semua ADUN disediakan bilik pejabat masing-masing.

Pasti ia memberikan keselesaan berbanding dengan kapasiti 48 ADUN di bangunan DUN lama yang mula digunakan pada 1976.

Kompleks baru itu juga dibina dengan satu Dewan Santapan yang boleh menampung kehadiran 1,000 orang pada satu-satu masa.

Terletak berhadapan dan di seberang Tebingan Sungai Sarawak, bangunan yang simbolik terhadap sistem demokrasi berparlimen itu dibina dengan 315 ruang letak kereta.

Dewan Undangan Negeri Sarawak adalah Dewan perundangan yang tertua di Malaysia, demikian menurut kenyataan dalam laman web rasmi DUN Sarawak.

Ia ditubuhkan oleh Raja Muda Charles Brooke, atas arahan Raja James Brooke, melalui mesyuarat yang diadakan di sebuah perkampungan nelayan kecil di Bintulu pada 8 September 1867.

DUN Sarawak pada mulanya dikenali sebagai Majlis Umum dengan jumlah ahli dipilih seramai 21 orang.

"Ahli-Ahli dipilih daripada kalangan ketua-ketua kaum tempatan yang difikirkan dapat membantu dalam mentadbir wilayah-wilayah di bawah jajahan James Brooke yang pada masa itu hanya meliputi kawasan-kawasan persisiran," laman web itu dipetik.

DUN Sarawak telah menempuh tiga zaman yang penting.

Zaman rajah putih keluarga Brooke, diikuti dengan zaman koloni atau zaman penjajahan British dan ketiga, zaman kemerdekaannya menerusi Malaysia.

Tiga orang anggota keluarga Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1841 sehingga 1946. Dari 1 Julai 1946 sehingga merdeka, Sarawak di bawah pemerintahan koloni Inggeris.

Dari 1946 hingga saat-saat sebelum merdeka, Dewan terus bergerak menempuh arus perubahan yang banyak seiring dengan kedudukan negeri ditadbirkan oleh pejabat tanah jajahan yang berpusat di London melalui wakil-wakilnya di Sarawak.

"Zaman gemilangnya mula berputik pada 16 September 1963 apabila Sarawak mencapai kemerdekaan melalui Malaysia," kenyataan dalam laman web itu dipetik.

Utusan

No comments: