Astro All Asia Networks plc (Astro) yang menggantung urus niaganya di Bursa Malaysia selama separuh hari, kononnya bakal mengumumkan penstrukturan korporat dan modal, bagaimanapun menafikan spekulasi tersebut.
Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ralph Marshall yang membuat penafian itu melahirkan rasa kehairanan bagaimana spekulasi itu boleh dilaporkan secara meluas oleh media sedangkan syarikat itu masih menimbang pelbagai pilihan bagi penstrukturan berkenaan.
''Astro memang selalu menimbang untuk melakukan penstrukturan korporat dan modal untuk memberi faedah terbaik kepada pemegang saham. Ia adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan syarikat.
''Bagaimanapun, pihak Lembaga Pengarah masih belum membuat sebarang keputusan mengenai penstrukturan tersebut termasuk apa yang disebut dalam laporan media,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan di sini hari ini.
Turut serta Pengerusinya, Datuk Badri Masri dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Astro, Rohana Rozhan.
Spekulasi mengenai penstrukturan itu timbul apabila media asing melaporkan bahawa dua pemegang saham utama Astro, Usaha Tegas Sdn. Bhd. milik Tan Sri Ananda Krishnan dan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan membeli operasi antarabangsa Astro dengan nilai kira-kira RM9 bilion.
Sekiranya spekulasi itu berlaku, ia dijangka menjadi transaksi urus niaga terbesar di Malaysia pada tahun ini.
Menurut laporan media asing itu, Astro akan membayar dividen sebanyak RM1 sesaham, yang turut menyaksikan Khazanah bakal menerima pembayaran sebanyak RM340 juta.
Khazanah yang memegang 21 peratus kepentingan dalam syarikat itu, bakal menguasai kira-kira 33 peratus dalam sebuah syarikat khas yang akan menguruskan perniagaan antarabangsanya.
Bagaimanapun, Khazanah enggan mengulas mengenai spekulasi itu.
Ketika diasak kenapa Astro menggantung urus niaga di Bursa Malaysia, Marshall berkata, langkah itu dibuat disebabkan spekulasi tersebut dan tidak ada kena mengena dengan sebarang pengumuman penstrukturan.
Beliau berkata, syarikat itu akan mengumumkan penstrukturan tersebut sekiranya sudah membuat keputusan mengenainya.
Ditanya apakah kelemahan yang terdapat dalam struktur korporat dan modal sekarang sehingga ia perlu membuat perubahan, beliau berkata: ''Astro sentiasa mahu menjana perniagaan kami demi kepentingan pemegang saham''.
Tambah beliau, Astro sentiasa mendapat pelbagai sokongan daripada institusi perbankan tempatan dan antarabangsa yang sentiasa mengkaji struktur modal syarikat.
''Bukan kami yang minta tetapi institusi-institusi perbankan yang datang kepada kami. Antaranya, CIMB Bank, RHB Bank, Goldman Sach, UBS, Morgan Stanley dan DBS Bank,'' jelasnya.
Ketika diminta penstrukturan dari institusi perbankan dan kewangan yang mana menjadi pilihan Astro, Marshall berkata, ia tertakluk kepada kreativiti institusi berkenaan untuk menjana perniagaannya.
Pada sidang akhbar itu, beliau turut menyebut, Astro mahu menjadi pemain dalam industri penyiaran di rantau ini, selain melihat peluang untuk menjalinkan kerjasama di pasaran India, Hong Kong dan China.
Katanya, Astro juga serius untuk membuat pelaburan dalam kandungan di pasaran-pasaran baru itu.
''Kita sedang menjalinkan kerjasama dalam perniagaan ini dengan syarikat telekomunikasi India dan berharap dapat diperluaskan di Hong Kong dan China,'' tambahnya.
utusan
No comments:
Post a Comment