JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, July 23, 2009

GERHANA DI MALAYSIA TAHUN DEPAN ???


Gerhana matahari separa dirakamkan berhampiran pejabat Pertubuhan Berita Nasional di Alor Setar, semalam. - BERNAMA
Gerhana matahari separa, yang amat sukar dicerap dengan mata kasar, boleh dilihat antara 9.20 pagi hingga 9.30 pagi tadi di kawasan Utara Semenanjung Malaysia.
Kejadian gerhana itu berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang merupakan gerhana matahari terpanjang abad ini.


KUALA LUMPUR 22 Julai - Malaysia menerima tempias bayangan gerhana matahari separa hari ini bermula pukul 8.23 pagi meskipun fenomena gerhana matahari penuh yang terpanjang pada abad ini dapat disaksikan di China.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mhd Fairos Asillam berkata, fenomena kali ini mencapai masa terpanjang maksimum iaitu 6 minit 39 saat berbanding satu hingga dua setengah minit sebelum ini.

Walaupun begitu, jelas beliau, gerhana matahari separa di Malaysia sukar untuk dicerap dengan mata kasar kerana hanya lebih kurang 17.8 peratus kawasan permukaan matahari ditutupi bulan semasa fenomena gerhana tersebut berlaku.

Tambahnya, kawasan utara Semenanjung seperti Perlis merupakan kawasan terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa.

"Sebaliknya di Kuala Lumpur, hanya lapan peratus permukaan matahari dilitupi bulan dan ini dapat dilihat menggunakan cermin mata pelindung sinaran ultralembayung (UV) atau teleskop yang dilengkapi penuras suria.

"Ini disebabkan laluan gerhana matahari bukannya melalui negara kita secara tepat selain kedudukan matahari yang sangat hampir di ufuk," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mhd Fairos menjelaskan, bayangan bulan mula memasuki laluannya di Gujerat, India seterusnya ke Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, China dan Pulau Ryukyu di Jepun sebelum berakhir melalui Lautan Pasifik.

Beliau berkata, cuaca dan litupan awan di China yang lebih baik serta laluan gerhana yang merentasi beberapa bandar berpopulasi tinggi seperti Shanghai dan Hangzhou, membolehkan penduduknya menyaksikan planet Merkuri dan Zuhrah sekiranya gerhana penuh berlaku di sana.

Katanya, kejadian gerhana penuh yang panjang itu juga menarik minat para saintis untuk menjalankan pelbagai eksperimen melibatkan pengaruh tekanan graviti dan beberapa tindak balas terhadap tumbuhan dan haiwan di bumi.

Dalam pada itu, beliau berkata, ANGKASA telah menghantar tiga pegawainya untuk membuat penyelidikan, pengambilan data dan imej gerhana di Jinshan, Shanghai, China.

Ekspedisi Gerhana di beberapa kawasan di China turut disertai oleh lebih 50 penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Persatuan Falak Syarie Malaysia, Stargazer Scientific dan Falak Online.

Selain itu, beliau berkata, penduduk Malaysia dijangkakan dapat menyaksikan gerhana matahari separa sekali lagi pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019.

"Pada tahun 2032, gerhana matahari separa dijangka berlaku untuk tempoh yang lebih panjang berbanding hari ini sementara gerhana matahari penuh dapat disaksikan pada tahun 2042," katanya.

Di Malaysia, gerhana matahari penuh pernah disaksikan di Kudat, Sabah pada tahun 1995 disusuli gerhana matahari cincin di Mersing, Johor pada tahun 1998. UTUSAN

No comments: