JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, July 23, 2009

DI MANA 'RASUL MELAYU' ???



Selepas dituduh buat pertama kali di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada tahun 2005 atas lima tuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor, Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya 'rasul Melayu' tidak pernah hadir mengikuti prosiding.

Walau waran tangkap telah dikeluarkan dan beberapa kali disebut di mahkamah, namun ia tidak pernah disempurnakan.

Selepas empat tahun berlalu sejak pertama kali didakwa pada 17 Ogos 2005, Abdul Kahar, 59, masih gagal dikesan dan menyebabkan perbicaraan terhadapnya tidak pernah bermula.

Hari ini, mahkamah dimaklumkan bahawa anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya menemui rumah Abdul Kahar di Bukit Antarabangsa, namun mereka seolah-olah berselisih di jalanan kerana lelaki itu telah pun keluar sebelum itu.

Pegawai pendakwa syarie daripada JAIS, Muhammad Nazri Basrawi berkata, penguat kuasa jabatan itu hanya menemui pembantu rumah dan anak perempuan Abdul Kahar semasa mereka sampai di rumah tersebut pada Isnin lalu.

''Pihak polis juga telah pergi ke rumah Abdul Kahar di Kemensah pada 17 Julai lalu untuk menyempurnakan waran tangkap tetapi hanya menemui anak lelakinya, Mohd. Faizal yang kemudiannya memaklumkan bapanya sudah lama tidak pulang ke rumah,'' katanya.

Muhammad Nazri turut memaklumkan beliau telah pun memfailkan hujahan bertulis bagi permohonan agar perbicaraan kes tersebut dijalankan tanpa kehadiran tertuduh.

Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad kemudiannya mengarahkan Muhammad Nazri memfailkan hujahan tambahan dan melanjutkan waran tangkap terhadap Abdul Kahar serta penjamin kedua yang gagal hadir ke mahkamah.

Beliau menetapkan 7 Oktober ini hujahan bagi permohonan menjalankan perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh serta sebutan status waran tangkap.

Pada 3 Julai lalu, JAIS menawarkan ganjaran RM10,000 dalam usaha mengesan Abdul Kahar melalui risalah dan poster yang ditampal di papan-papan kenyataan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di Keramat dan tempat-tempat awam.

Menurut risalah tersebut, sesiapa yang mempunyai maklumat tepat dan sahih mengenai Abdul Kahar yang mempunyai kad pengenalan 500427-10-5719 diminta menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JAIS di talian: 1-800-88-2424, 03-55190930 atau 03-55190398.

Abdul Kahar didakwa mengisytiharkan dirinya sebagai rasul orang Melayu zaman ini, mempersendakan ajaran Islam dan mendakwa ibadat haji sengaja diada-adakan kerajaan Arab Saudi untuk mengaut keuntungan.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu antara 2 dan 19 Jun 2005 di No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang dekat sini.

utusan

No comments: