JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, July 23, 2009

PILIHANRAYA SARAWAK SEMAKIN HAMPIR


75,808 sah jadi pengundi baru

KUALA LUMPUR 20 Julai - Sebanyak 75,808 permohonan pendaftaran pemilih baru dan 18,630 untuk pertukaran alamat pusat mengundi diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh suku kedua tahun ini.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, pemohon boleh menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang akan dipamerkan selama seminggu bermula esok menerusi 994 lokasi pameran di seluruh negara.

"Mereka boleh semak permohonan di pejabat SPR negeri, pejabat pos berkomputer, kompleks atau pejabat kerajaan, pejabat-pejabat daerah dan pejabat tanah.

"Selain itu majlis daerah atau perbandaran, dewan serbaguna, Rukun Tetangga dan balai raya juga mempamerkan nama-nama mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sabri, sekiranya pemilih baru yang mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam rang daftar tersebut boleh membuat tuntutan dengan menggunakan borang B.

"Borang tuntutan B yang telah diisi hendaklah diserahkan kepada pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh daftar pemilih dipamerkan," katanya.

Sementara itu, katanya, bantahan terhadap kemasukan nama individu dalam rang daftar pemilih oleh pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya boleh dilakukan menggunakan borang C.

Selain itu, jelasnya, SPR juga akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

"SPR akan mengeluarkan nama-nama pemilih yang meninggal dunia, lucut hak kerakyatan dan bersara daripada angkatan tentera atau polis.

"Ini bermaksud mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih dan sebagainya," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut boleh menghubungi ibu pejabat SPR iaitu 03-88856500 atau melayari laman web www.spr.gov.my

utusan

Latihan SPR DI Sarawak


SRI AMAN, Rabu (24 Jun) –Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Program Outreach di kawasan Parlimen Lubok Antu khususnya di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Engkilili bermula 25 (Khamis) hingga 26 Jun ini.

Menurut berita yang disiarkan menerusi stesen radio RaSA FM atau RTM Sri Aman semalam, program Outreach ini bertujuan untuk membolehkan orang ramai di kawasan DUN Engkilili yang sudah menjangkau umur 21 tahun untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi bagi tujuan pilihan raya akan datang.

“Malahan program Outreach ini juga bertujuan untuk membolehkan para pengundi dari kawasan terbabit untuk memohon pertukaran alamat tempat tinggal dan lokasi mengundi menerusi program itu,” menurut siaran radio terbabit.

Program Outreach ini menurut siaran radio terbabit akan bermula di Tisak dan Lipat, Skrang pada 25 Jun bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1 petang dan seterusnya berlangsung di Lidong dan Baloi, Skrang bermula dari jam 2 hingga 5 petang bagi hari yang sama.

Manakala itu pada 26 Jun, Program Outreach berkenaan menurut siaran terbabit juga akan berlangsung di San Semanju, Tito Ili dan Tito Ulu bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1 petang.

Program Outreach ini menurut siaran itu lagi akan disambung semula di Semanju, Nibong dan Nanga Gelung (Semanju) bermula dari jam 2 hingga 5 petang pada hari yang sama.

“Justeru penduduk dari kawasan DUN N.28 Engkilili yang ingin berbuat demikian boleh datang ke lokasi yang dinyatakan menerusi Program Outreach ini mengikut jadual waktu yang telah dimaklumkan kepada mereka,” katanya.

utusan sarawak

Bengkel Untuk Wartawan DI SARAWAK


Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) akan mengadakan bengkel pilihan raya bagi wartawan Sarawak sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri.

Pengerusi CJA yang baru dipilih Caroline Jackson berkata bengkel itu adalah satu daripada aktiviti CJA, yang akan terus mengadakan kerjasama dengan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dan CJA International yang beribu pejabat di Toronto, Kanada kerana berjuang demi kebaikan wartawan di Sarawak.

"Saya yakin bahawa cadangan mengadakan bengkel pemberitaan politik dan latihan seperti itu dijangka diadakan dengan bantuan fasilitator yang berpengalaman daripada anggota negara CJA International, termasuk United Kingdom, Kanada and Australia, yang akan meningkatkan mutu kewartawanan di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Caroline, yang juga anggota exco CJA International (Asia Tenggara) mengambil alih jawatan itu daripada Florence Yii, setelah beliau menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan ketiga di sini baru-baru ini.

Dalam menerokai peluang untuk wartawan Sarawak bagi mengenali rakan mereka dari negara Komanwel dan perkembangan kewartawanan terkini, katanya CJA Sarawak dengan kerjasama AZAM telah menganjurkan Persidangan CJA ke-8 di sini dari 14 hingga 18 Okt tahun lepas.

CJA merupakan satu-satunya pertubuhan media di negara-negara Komanwel setelah Kesatuan Akhbar Kebangsaan (UPI) ditutup tahun lepas disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, kata Caroline yang juga ketua biro Bernama Sarawak.

Beliau berkata mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai berita CJA boleh melayari portal web, http://cjaweb.com.

Kursus KEADILAN Sarawak Diganggu Polis


Polis Sarawak bertindak samseng dengan menyerbu sebuah rumah panjang untuk menyuraikan peserta kursus kewartawanan anjuran Skuad KEADILAN negeri itu.

Sepasukan lapan anggota polis menyerbu rumah panjang itu di Saratok, kira-kira 350 kilometer dari Kuching dan memaksa kesemua 37 peserta meninggalkan rumah panjang itu pada 4 Julai lalu.

Alasan diberi oleh polis ialah kursus kewartawanan itu tidak mempunyai permit.

Ketua Skuad KEADILAN Sarawak Jol-Jolhi Bee berkata beliau telah memohon untuk mendapatkan permit walaupun tidak perlu berbuat demikian kerana kursus itu adalah aktiviti parti yang diadakan dalam dewan tertutup.

“Seperti biasa kesemua permohonan yang dibuat pihak Skuad tidak akan diluluskan,” kata beliau.

“Pihak Skuad merasa kesal dengan tindakan polis yang bertindak di luar batasan dan berat sebelah kerana sebelum ini Biro Tata Negara (BTN) anjuran Barisan Nasional menganjurkan kursus dan tidak memohon sebarang permit. Tidak ada pula serbuan polis bila ia membabitkan aktiviti BN,” tambah beliau.

Bagaimanapun, tindakan keterlaluan polis itu tidak mematahkan semangat peserta yang berpindah ke lokasi lain di Saratok untuk menyambung kursus berkenaan.

“Ini telah menaikkan semangat mereka dengan memahami erti perjuangan apabila hamba-hamba BN bertindak sewenang-wenangnya menyalahguna kuasa mereka,” jelas Jol-Jolhi.

Menurut beliau, pihak Skuad telah lima kali menangguh dan memindahkan program kursus ini kerana setiap kali pihak Skuad telah mengesahkan tempat dan tarikh, pihak BTN akan mengisi dewan dengan program anjuran mereka pada masa dan tempat yang sama.

Merujuk kepada sambutan penduduk terhadap KEADILAN di Saratok, Jol-Jolhi berkata kebanyakkan mereka menyedari bahawa mereka ditipu oleh Kerajaan BN sekian lama dengan pelbagai janji kosong.

Walaupun sudah 46 tahun merdeka dan bergabung dengan Semenanjung Malaysia, Sarawak masih mempunyai kawasan-kawasan luas yang tidak menikmati kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik.

“Contohnya, Kerajaan Negeri berjanji akan menyalurkan bekalan letrik kepada penduduk Saratok sebelum hari Gawai iaitu pada 1 Jun lalu, namun apa yang ada hanya tiang dan pendawaian sahaja, letriknya tidak disalurkan sehingga ke hari ini,” kata beliau.

Banyak lagi janji palsu BN disini membuatkan penduduk rasa muak dan tertipu kerana Sarawak adalah antara negeri terkaya tetapi sebahagian besar rakyatnya terus dibelit kemiskinan.

suarakeadilan.com

DUN SARAWAK BUBAR TAHUN DEPAN ???


KUCHING: Datuk Seri Najib Razak berkata, pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka diadakan akhir tahun depan atau awal 2011, penting sebagai pengukur prestasi Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2012.

Dalam perjumpaan tertutup dengan pemimpin dan wakil rakyat BN Sarawak di sini semalam, Perdana Menteri memberitahu, persiapan jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, bermula dengan Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yang juga Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datin Fatimah Abdullah, berkata Najib mahu semua pemimpin dan wakil rakyat BN menyuntik kesegaran pendekatan supaya lebih rapat dengan rakyat mulai sekarang.

Katanya, pemimpin dan wakil rakyat BN juga diminta mencontohi pendekatan Perdana Menteri ke arah merapati masyarakat akar umbi, sekali gus memastikan BN dapat diterima sebagai parti yang berjiwa rakyat.

“Beliau berkata, jika BN Sarawak menang besar dalam pilihan raya negeri, Insya-Allah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pun BN akan menang besar,” katanya selepas perjumpaan dan dialog tertutup pemimpin dan wakil rakyat BN Sarawak dengan Perdana Menteri di sini, semalam.

Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sekarang akan berakhir pada 24 Julai 2011 dengan pilihan raya dijangka diadakan lewat 2010 atau awal 2011.

Fatimah berkata, Perdana Menteri juga mengingatkan semua wakil rakyat BN supaya mengambil langkah serius bagi memantapkan kekuatan BN dan mahu mereka saling bekerjasama serta tidak membiarkan bahtera yang mereka naiki sekarang karam.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Tan Sri Dr George Chan, berkata Perdana Menteri juga mengingatkan semua wakil rakyat BN di Sarawak supaya memenuhi segala janji kepada rakyat sejajar dengan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Pesanan utama beliau ialah supaya kita turun padang menemui rakyat kerana kerajaan BN adalah sebuah kerajaan untuk rakyat,” katanya selepas pertemuan itu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk William Mawan dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Masing.

BHARIAN

No comments: