KUALA LUMPUR 20 Julai - Sebanyak 75,808 permohonan pendaftaran pemilih baru dan 18,630 untuk pertukaran alamat pusat mengundi diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh suku kedua tahun ini.
Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, pemohon boleh menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang akan dipamerkan selama seminggu bermula esok menerusi 994 lokasi pameran di seluruh negara.
"Mereka boleh semak permohonan di pejabat SPR negeri, pejabat pos berkomputer, kompleks atau pejabat kerajaan, pejabat-pejabat daerah dan pejabat tanah.
"Selain itu majlis daerah atau perbandaran, dewan serbaguna, Rukun Tetangga dan balai raya juga mempamerkan nama-nama mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sabri, sekiranya pemilih baru yang mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam rang daftar tersebut boleh membuat tuntutan dengan menggunakan borang B.
"Borang tuntutan B yang telah diisi hendaklah diserahkan kepada pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh daftar pemilih dipamerkan," katanya.
Sementara itu, katanya, bantahan terhadap kemasukan nama individu dalam rang daftar pemilih oleh pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya boleh dilakukan menggunakan borang C.
Selain itu, jelasnya, SPR juga akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.
"SPR akan mengeluarkan nama-nama pemilih yang meninggal dunia, lucut hak kerakyatan dan bersara daripada angkatan tentera atau polis.
"Ini bermaksud mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih dan sebagainya," katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut boleh menghubungi ibu pejabat SPR iaitu 03-88856500 atau melayari laman web www.spr.gov.my
utusan
No comments:
Post a Comment